Raja Muda Selangor sertai lebih 15,000 peserta Navy Run 2026

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan Navy Run 2026 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, hari ini yang menghimpunkan lebih 15,000 peserta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyertaan pemimpin termasuk Panglima TLDM, Datuk Bandar dan Ketua Pegawai Eksekutif Lumut Naval Shipyard memeriahkan acara.
  • Program distrimkan secara langsung dan disertai serentak oleh anggota TLDM di Pangkalan Lumut, Kuantan dan Kota Kinabalu.
  • Navy Run menjadi simbol kebersamaan TLDM dengan rakyat, mengukuh kepercayaan, sokongan dan semangat patriotisme; disertai aktiviti sampingan dan cabutan bertuah.

Tengku Amir Shah turut menyertai larian itu serta berjaya menamatkan acara bersama-sama ribuan peserta yang lain.

Turut menyertai larian itu ialah Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pegawai Eksekutif Lumut Naval Shipyard Azhar Jumaat.

TLDM dalam kenyataan menyebut program yang diadakan secara penstriman langsung itu juga disertai serentak oleh warga pasukan berkenaan di Pangkalan TLDM Lumut, Perak; Kuantan, Pahang dan Kota Kinabalu, Sabah.

“Navy Run bukan sekadar satu acara larian, tetapi simbol kebersamaan antara TLDM dengan rakyat Malaysia. Apabila rakyat mengenali angkatan laut dengan lebih dekat, terjalinlah kepercayaan, sokongan dan semangat patriotisme yang menjadi benteng kekuatan negara,” menurut kenyataan itu.

TLDM memaklumkan program larian santai sejauh tujuh kilometer di sekitar ibu kota itu merupakan penganjuran kali keempat sejak diperkenalkan pada 2023 dan mencatat penyertaan tertinggi sejak program itu mula diadakan.

Selain larian, program berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk sesi senamrobik, persembahan Pancaragam Pusat TLDM, persembahan kawad senyap, pameran kerjaya TLDM serta cabutan bertuah kepada para peserta. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.