
JOHOR BAHRU, 1 Ogos – Tanggungjawab utama sesebuah masyarakat bukan sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan kepada generasi muda, tetapi juga membentuk sahsiah mereka, titah Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
- Pendidikan bukan sekadar ilmu dan kemahiran, ia juga harus membentuk nilai murni serta empati untuk kesejahteraan bersama.
- Universiti perlu menyampaikan ilmu teknikal dan serentak memupuk perwatakan, nilai murni serta kepekaan terhadap perubahan teknologi.
- Bidang psikologi penting untuk memahami tingkah laku, motivasi dan daya tahan bagi membina masyarakat lebih kukuh dan harmoni.
Seri Paduka Baginda bertitah memetik Allahyarham Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas bahawa tujuan pendidikan bukan sekadar membentuk individu berpengetahuan dan berkemahiran untuk bekerja, tetapi juga melahirkan insan yang memiliki nilai murni.
“Prinsip ini amatlah relevan pada masa kini. Kemajuan dalam mana-mana masyarakat bukan dicapai dengan kejayaan intelek semata-mata, tetapi dengan empati, belas ihsan dan rasa ambil berat yang mendalam demi kesejahteraan semua.
“Saya percaya pendidikan bukan sahaja mengembangkan ilmu pengetahuan, tetapi juga membuka hati untuk memahami perspektif serta pendapat yang berbeza dan mengingatkan kita tentang kemanusiaan bersama,” titah Seri Paduka Baginda.
Raja Zarith Sofiah bertitah demikian selepas berkenan menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran Psikologi daripada University of Reading pada satu istiadat di Johor Bahru, hari ini.
Baginda bertitah, dalam perkembangan teknologi yang semakin mengubah cara hidup masyarakat di seluruh dunia, universiti memainkan peranan penting bukan sahaja menyampaikan ilmu dan latihan teknikal, malah memupuk perwatakan serta nilai murni.
“Pendidikan mesti memberi inspirasi untuk kita mencari satu perjuangan dan kita mesti menyumbang apa yang telah kita pelajari ke arah kesejahteraan kemanusiaan sejagat,” titah Baginda.
Seri Paduka Baginda turut menekankan kepentingan bidang psikologi dalam memahami tingkah laku manusia, motivasi, daya tahan serta hubungan sesama insan bagi membina masyarakat yang lebih kukuh dan harmoni.