Casemiro teruja bergandingan dengan Messi, sasar trofi bersama Inter Miami

Foto REUTERS

MIAMI, 1 Ogos – Bintang tengah Brazil, Casemiro menyifatkan peluang beraksi bersama Lionel Messi di Inter Miami sebagai satu penghormatan besar, selepas melengkapkan perpindahan ke kelab Major League Soccer (MLS) itu sebagai ejen bebas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menandatangani kontrak sehingga musim MLS Sprint 2027, dengan pilihan lanjutan sehingga Jun 2029.
  • Keazaman tinggi untuk memenangi trofi; dedikasi dan kerja keras tetap menjadi fokusnya.
  • Pilih Inter Miami selepas rundingan keluarga; mereka sukakan bandar dan negara tempat beraksi.
  • Sudah membuat penampilan sulung dalam kemenangan 1-0 ke atas Montreal dan berterima kasih kepada penyokong.

Pemain berusia 34 tahun itu diperkenalkan secara rasmi pada Khamis, selepas menandatangani kontrak sehingga musim MLS Sprint 2027 dengan pilihan lanjutan sehingga Jun 2029.

Bekas pemain Real Madrid dan Manchester United itu berkata, beliau masih memiliki keazaman tinggi untuk memburu kejayaan walaupun meninggalkan pentas bola sepak Eropah.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga Mas, David Beckham dan semua yang berusaha membawa saya ke sini.

“Dan sudah tentu, Leo Messi pemain terbaik dalam sejarah. Satu penghormatan untuk saya berada di sini,” katanya.

Casemiro yang pernah menjulang lima trofi Liga Juara-Juara bersama Real Madrid, selain membantu Manchester United memenangi Piala Liga serta Piala FA, menegaskan semangat untuk menang masih membara.

“Niat saya untuk menjadi yang terbaik dan memenangi trofi tidak pernah hilang. Dalam bola sepak, kita tidak tahu sama ada akan menang atau kalah, tetapi dedikasi dan kerja keras akan kekal sama,” katanya.

Pemain yang mewakili Brazil pada Piala Dunia 2026 itu turut mendedahkan Inter Miami menjadi pilihan utama beliau selepas berbincang bersama keluarga.

“Kami tahu saya mahu bermain untuk Inter Miami. Kami mengenali bandar ini dan negara ini kami menyukainya,” katanya.

Casemiro turut mengakui sudah mula menyesuaikan diri bersama pasukan baharunya selepas membuat penampilan sulung ketika Inter Miami menewaskan Montreal 1-0, Sabtu lalu.

Beliau turut berterima kasih kepada penyokong atas sambutan hangat yang diberikan sejak menyertai kelab yang turut dibarisi Messi itu.-REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.