
KOTA BHARU, 31 Julai – Tiga lelaki warga Myanmar ditahan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan selepas didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika diperiksa di Ketereh, malam tadi.
- Tangkapan dibuat selepas maklumat awam; suspek ditahan secara berasingan antara pukul 10.30 hingga 10.50 malam.
- Mereka mengaku memasuki Malaysia dari Thailand melalui pengkalan haram Rantau Panjang pada 2023, menetap di Kok Lanas dan kerja buruh binaan.
- Kemasukan diurus ejen warga Myanmar dengan bayaran RM6,000 seorang; upah mereka sekitar RM70 sehari; kes disiasat mengikut Akta Imigresen.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Ahmad Radzi Hussain berkata tangkapan dilakukan selepas menerima maklumat awam pada pukul 8.30 malam.
“Ketiga-tiga suspek berusia antara 22 hingga 33 tahun ditahan secara berasingan antara pukul 10.30 malam hingga 10.50 malam di hadapan sebuah premis Jalan Kuala Krai, Kampung Pangkal Kuang, Ketereh.
“Kesemua lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri sebelum mereka ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku masuk ke Malaysia dari Thailand melalui pengkalan haram di Rantau Panjang pada 2023 sebelum menetap di Kok Lanas dan bekerja sebagai buruh binaan.
“Mereka mendakwa kemasukan ke negara ini diuruskan oleh seorang ejen warga Myanmar yang menetap di Malaysia dengan bayaran RM6,000 bagi setiap seorang dan kini terputus hubungan.
“Selain itu, mereka turut menerima upah sekitar RM70 sehari sebagai buruh binaan,” jelasnya.
Semua tangkapan kemudian diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu untuk tindakan serta siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.