
KUALA LUMPUR, 30 Julai – Kerajaan Persekutuan bersetuju melepaskan hak ke atas tapak Rajang Area Security Command (RASCOM) kepada Kerajaan Negeri Sarawak bagi membolehkan pembangunan lebih strategik dilaksanakan di kawasan berkenaan.
- Keputusan dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri, menurut kenyataan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
- Penyerahan melibatkan empat kawasan di Sibu: Nanga Tada, Nanga Jagau, Nanga Ngungun, Nanga Sekuau; keluasan 3,655.60 hektar.
- Langkah itu mencerminkan komitmen memperkukuh kerjasama Persekutuan-Negeri, pengiktirafan MA63 serta pengurusan aset cekap dan telus demi kepentingan rakyat.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dipersetujui pada mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung semalam.
Penyerahan tersebut melibatkan empat kawasan di Sibu, iaitu Nanga Tada, Nanga Jagau, Nanga Ngungun dan Nanga Sekuau, dengan keluasan keseluruhan 3,655.60 hektar.
Menurut NRES, keputusan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak selaras dengan semangat federalisme serta pengiktirafan terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sejak 2023, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan penyerahan semula sebanyak 64 lot tanah milik Persekutuan di Sarawak.
Pelepasan hak itu dijangka memberi ruang kepada Kerajaan Negeri Sarawak untuk merancang dan melaksanakan pembangunan secara lebih strategik, di samping mengoptimumkan penggunaan tanah bagi merangsang pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
NRES turut menegaskan Kerajaan MADANI kekal komited memastikan pengurusan aset dan tanah milik Persekutuan dilaksanakan secara cekap dan telus, berteraskan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri demi kepentingan rakyat serta kemakmuran negara.