AS lancar serangan baharu ke atas Iran, Perang Asia Barat kian merebak

Foto REUTERS

WASHINGTON, 30 Julai -Tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan siri serangan baharu ke atas Iran pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Konflik kian merebak ke negara jiran, termasuk serangan dan serangan balas di Iraq, Jordan dan insiden di Mesir serta Selat Hormuz.
  • AS menyatakan tindak ketenteraan sebagai tindak balas kepada percubaan serangan Iran terhadap kemudahan ketenteraan AS di Asia Barat.
  • Gencatan senjata Jun runtuh; presiden Trump berikrar membalas sementara Tehran terus menyerang kapal dan posisi AS, menolak cadangan Oman.

Tindakan berkenaan sekali gus memburukkan lagi konflik yang kini memasuki bulan kelima dan mula merebak ke beberapa negara jiran di rantau berkenaan.

“Pasukan tentera AS mula melancarkan serangan terhadap Iran pada pukul 8 malam waktu tempatan,” kata Markas Pusat AS (CENTCOM) dalam satu kenyataan.

Menurut CENTCOM, tindakan ketenteraan itu merupakan tindak balas terhadap percubaan menyerang oleh Iran ke atas kemudahan tentera AS di Asia Barat sehari sebelum itu.

Perkembangan itu berlaku selepas sebuah dron dilaporkan menyerang kapal tangki simpanan gas milik AS di pelabuhan Damietta, Mesir.

Pada masa sama, gabungan tentera AS dan Arab Saudi turut melancarkan serangan ke atas kumpulan bersekutu Iran di timur Iraq.

Manakala Tehran membalas dengan melepaskan peluru berpandu ke arah kedudukan tentera AS di Jordan.

Kementerian Petroleum Mesir mengesahkan insiden kebakaran di kawasan pelabuhan berkenaan, namun tidak menyatakan sebarang pembabitan serangan dron.

Pihak yang bertanggungjawab dalam insiden itu masih belum dapat dipastikan.

Siri serangan terbaharu di Iraq dan Mesir itu dikhuatiri meretakkan lagi kestabilan serantau, terutamanya selepas kumpulan Houthi di Yaman mengisytiharkan sekatan laluan laut ke atas Arab Saudi minggu lalu.

Serangan AS itu dilancarkan selepas Presiden Donald Trump berikrar untuk membalas tindakan Iran menyasarkan anggotanya.

“Kini giliran kami,” tegas Trump kepada pemberita di White House sambil memberi amaran akan mengenakan tindakan keras, meskipun pada masa sama menyatakan Washington masih terbuka kepada perjanjian damai dengan Tehran.

Sementara itu, Iran mengesahkan bedilan ke atas kem tentera AS di Jordan serta kapal di Selat Hormuz, selain menolak cadangan Oman untuk menguruskan laluan perkapalan minyak dan gas global berkenaan secara bersama.

Konflik berkenaan meletus sejak Februari lalu susulan kempen pengeboman AS dan Israel ke atas Iran.

Perjanjian gencatan senjata sementara yang dimeterai pada Jun lalu terlerai selepas pertempuran semula tercetus di Selat Hormuz, yang kini didakwa berada di bawah kawalan Tehran. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.