
PASIR MAS, 26 Julai – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 68 peket minyak masak bersubsidi cuba diseludup ke Thailand di Pengkalan Haram Perdah 2, Jeram Perdah, petang semalam.
- PGA Briged Tenggara merampas 68 peket minyak masak bersubsidi cuba diseludup ke Thailand di Pengkalan Haram Perdah 2, Jeram Perdah.
- Rampasan dianggarkan bernilai RM170.
- Seorang lelaki melarikan diri ke arah tebing sungai Thailand selepas anggota tiba; barangan ditinggalkan dan tiada tuntutan.
- Rampasan diserahkan kepada KPDN Cawangan Pasir Mas untuk tindakan lanjut; kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan dianggarkan bernilai RM170.
Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang seorang lelaki sedang memunggah beberapa plastik lutsinar di tebing sungai.
Katanya, sebaik menyedari kehadiran anggota PGA, lelaki itu bertindak terjun ke dalam sebuah perahu sebelum melarikan diri ke arah tebing sungai Thailand dan gagal dikesan.
“Pemeriksaan ke atas plastik-plastik yang ditinggalkan menemukan 68 peket minyak masak bersubsidi yang dipercayai hendak dibawa keluar secara haram ke Thailand. Anggota kemudian menunggu kira-kira 30 minit, namun tiada individu tampil menuntut barangan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Radzi berkata, hasil risikan mendapati sindiket dipercayai menjadikan pengkalan haram itu sebagai lokasi transit sementara sebelum minyak masak dipindahkan menggunakan perahu merentasi Sungai Golok ke Thailand.
Katanya, kesemua rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.