
KUALA LUMPUR, 24 Julai – Selepas lebih sedekad memberi tumpuan kepada dunia keusahawanan, juara program hiburan Akademi Fantasia (AF) musim kelima, Mila Jirin, kembali menghangatkan industri muzik tanah air menerusi single terbaharu berjudul “Tersimpan Dalam Hati”.
- Sepanjang membangunkan Bizmilla (lebih 10,000 majlis, lebih 10 juta tetamu), impiannya hampir terkubur tetapi kini kembali.
- Single balada moden bertema cinta, kerinduan dan impian terpendam, mencerminkan perjalanan hidupnya.
- Rakaman sepenuhnya di Jakarta bersama komposer Ilham Baso; edaran digital diuruskan Nova Music.
- Single pembuka projek kemunculan semula; album baharu dihasilkan suami Ailis Mustapha, dijangka dilancar hujung tahun; tersedia platform utama.
Kemunculan semula penyanyi itu bukan sekadar mempertaruhkan lagu baharu, sebaliknya menjadi simbol kebangkitan impian yang hampir terhenti di tengah-tengah kesibukan mengurus perniagaan dan kehidupan peribadi.
Menurut Mila, sepanjang membangunkan jenama Bizmilla yang kini mengendalikan lebih 10,000 majlis dan meraikan lebih 10 juta tetamu, impiannya untuk kembali menyanyi hampir terkubur.
“Ada ketika saya tertanya-tanya sama ada impian ini masih ada ruang. Namun saya percaya, jika impian itu ikhlas, Allah akan menemukan jalannya pada waktu yang tepat,” katanya kepada media.
Single berentak balada moden itu mengangkat tema cinta, kerinduan serta impian yang terpendam, sekali gus mencerminkan perjalanan hidupnya sebagai usahawan, isteri, ibu dan anak seni.
Bagi memastikan kualiti terbaik, proses rakaman dilakukan sepenuhnya di Jakarta dengan kerjasama komposer Indonesia, Ilham Baso, manakala edaran digital diuruskan Nova Music.
Lebih istimewa, video muzik rasmi lagu tersebut turut menjalani penggambaran di luar Jakarta di bawah arahan pengarah Wahyu Taufani Prialangga, dengan Mila sendiri terlibat dalam pembangunan idea dan konsep penceritaan.
Mengulas lanjut, Mila berkata lagu itu didedikasikan kepada sesiapa yang masih menyimpan impian dalam hati.
“Saya percaya setiap orang ada sesuatu yang disimpan sama ada cinta, luka atau impian. Lagu ini untuk mereka yang masih percaya impian tidak pernah mempunyai tarikh luput,” katanya.
Tersimpan Dalam Hati merupakan single pertama daripada siri projek kemunculan semula Mila, selain menjadi pembuka kepada album baharu yang sedang dihasilkan sepenuhnya oleh suaminya, Ailis Mustapha, dan dijangka dilancarkan hujung tahun ini.
Karya tersebut kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama.