
PERU, 22 Julai – Ratusan burung undan yang kelaparan kini mula membanjiri kawasan pelabuhan dan pasar pesisir pantai di Peru bagi mencari makanan, sekali gus menjadi petanda jelas fenomena cuaca El Nino yang semakin kuat dan mengancam sektor ekonomi utama negara itu.
- Pemanasan laut akibat El Nino mengganggu ekosistem marin, menyebabkan spesies ikan komersial berpindah ke perairan lebih dalam.
- Industri perikanan merosot 31% dalam lima bulan pertama; eksport dijangka tidak mencapai sasaran AS$5 bilion, menjejaskan ekonomi.
- Kerajaan memperuntuk AS$2.8 bilion untuk infrastruktur dan persediaan banjir, tetapi pelabur anggap langkah masih tidak mencukupi.
Menurut pakar sains, peningkatan suhu lautan akibat El Nino telah mengganggu ekosistem marin di sepanjang pantai Peru, menyebabkan bekalan ikan berkurangan dan memaksa burung-burung berkenaan berpindah ke kawasan bandar.
Walaupun sebahagian daripadanya memperoleh sisa makanan daripada nelayan dan peniaga, banyak lagi burung berkenaan dikhuatiri tidak mampu bertahan.
“Inilah yang berlaku. Burung-burung ini terpaksa meninggalkan kawasan pembiakan mereka dan akhirnya mati akibat kekurangan makanan,” kata Pakar Biologi Marin, Carlos Zavalaga.
Pakar iklim turut memberi amaran bahawa fenomena El Nino pada tahun ini dijangka berada pada tahap kuat, sekali gus meningkatkan risiko berlakunya kemarau, banjir dan gelombang haba.
Kebimbangan terhadap kesan ekonomi juga semakin meningkat.
Sektor perikanan Peru menjangkakan nilai eksport tahun ini berdepan risiko tidak mencapai sasaran AS$5 bilion (RM23.4 bilion), berbanding nilai eksport sebanyak AS$4.6 bilion (RM21.5 bilion) yang direkodkan pada 2025.
Agensi Pemantauan El Nino Peru melaporkan suhu permukaan laut kini antara dua hingga lima darjah Celsius lebih tinggi berbanding paras normal, menyebabkan spesies ikan komersial utama berpindah ke perairan lebih dalam.
Kesannya, aktiviti industri perikanan merosot sebanyak 31 peratus dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, manakala sektor pertanian hanya mencatat pertumbuhan 0.4 peratus akibat terjejas oleh suhu tinggi.
Sebagai langkah awal, Kongres Peru meluluskan peruntukan tambahan sebanyak AS$2.8 bilion (RM13.1 bilion) pada 15 Julai lalu bagi membiayai projek infrastruktur dan memperkukuh persiapan menghadapi hujan lebat.
Bagaimanapun, pelabur dalam sektor eksport pertanian menyifatkan langkah tersebut masih belum mencukupi.
Peru merupakan pengeluar tembaga ketiga terbesar di dunia, selain menjadi pengeluar utama tepung ikan serta pengeksport barangan pertanian seperti beri biru.
Eksport pertanian negara itu mencatat rekod tertinggi sebanyak AS$15.1 bilion (RM70.7 bilion) pada 2025, namun pengeluar memberi amaran prospek musim penanaman utama kali ini dijangka merosot secara ketara.
Wakil Persatuan Pengeluar Pertanian Peru, Gabriel Amaro, berkata fenomena El Nino dijangka menjejaskan pendapatan eksport sektor itu sehingga hampir AS$1 bilion (RM4.68 bilion) berbanding unjuran asal bagi tahun ini. – REUTERS