Judi dalam talian: RM35 juta taruhan dikesan sepanjang Piala Dunia 2026

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar menunjukkan gambar tangkapan dan barangan rampasan dalam sidang media di sini / BERNAMA

SUBANG JAYA, 22 Julai- Nilai taruhan mencecah RM35 juta dikesan menerusi kegiatan judi dalam talian yang mengambil kesempatan kehangatan Piala Dunia FIFA 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Op SOGA dilaksanakan dari 19 Jun hingga 20 Julai membongkar kegiatan judi dalam talian.
  • Polis menjalankan 649 serbuan dan menahan 945 individu, termasuk 835 lelaki dan 110 wanita.
  • Agensi mengesan 637 laman web promosi perjudian; sebahagian disekat, bakinya tindakan lanjut oleh MCMC.
  • Sindiket utama diserbu 16 Julai: 19 premis, 161 ditahan termasuk lima pengarah; mereka bina aplikasi judi dan catat pusingan kredit RM27 juta sehari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar berkata, kegiatan berkenaan dibongkar hasil Op SOGA yang dilaksanakan dari 19 Jun hingga 20 Julai.

Jelas beliau, 649 serbuan dilakukan di seluruh negara sepanjang tempoh itu dengan 945 individu diberkas, terdiri daripada 835 lelaki dan 110 wanita.

“Polis bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut mengesan 637 laman sesawang yang mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian.

Sebahagian daripadanya telah disekat manakala bakinya sedang melalui proses tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media, di sini.

Beliau turut memaklumkan, satu sindiket utama ditumpaskan pada 16 Julai lalu hasil serbuan di 19 premis di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Dalam operasi itu, 161 individu ditahan, termasuk lima lelaki tempatan, dipercayai pengarah atau pemegang saham syarikat yang mengendalikan sindiket terbabit.

“Siasatan mendapati, sindiket itu membangunkan aplikasi perjudian sendiri dan menawarkan pertaruhan bola sepak Piala Dunia serta pelbagai bentuk perjudian lain kepada pelanggan tempatan dan beberapa negara jiran.

Analisis terhadap peralatan yang dirampas pula menunjukkan sindiket terbabit merekodkan pusingan kredit kira-kira RM27 juta sehari, sekali gus menggambarkan skala operasi yang besar,” ujarnya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.