
BUTTERWORTH, 22 Julai – Dua individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, akibat menjual dan membeli satu paket minyak masak satu kilogram (kg) pada 19 Julai lepas.
- Dua lelaki, warga tempatan dan Bangladesh, dihadapkan atas jual dan beli satu paket minyak masak 1 kg pada 19 Julai di Simpang Ampat.
- Penjual didakwa melanggar Peraturan 2(1) Peraturan Kawalan Bekalan (Minyak Masak) 2026; boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.
- Pembeli warga asing didakwa membeli barang kawalan yang tidak dibenarkan dijual kepada bukan warganegara; kedua-dua tertuduh diberi jaminan RM3,000 dan perlu lapor KPDN.
Kedua-dua tertuduh masing-masing warga tempatan dan Bangladesh, Muhammad Anwar Kartiban 30 tahun serta Md. Roshidul Malitha 44 tahun mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Roslan Hamid.
Mengikut pendakwaan, Muhammad Anwar dituduh menjual barang kawalan iaitu minyak masak dalam bungkusan polibeg satu kg kepada warga asing berkenaan yang melanggar Peraturan 2 (1) Peraturan – Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) (Minyak Masak) 2026 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.
Kesalah dilakukan di sebuah premis dekat Lingkaran Cassia Barat, Simpang Ampat pada 19 Julai 2026 kira-kira pukul 5.40 petang.
Manakala, Md Roshidul didakwa membeli satu kg barang kawalan itu yang tidak boleh dijual kepada bukan warga Malaysia.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Alsad Nasrullah manakala, kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin tempatan dan diarah melapor diri di pejabat KPDN.
21 Ogos depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.