Lebih 1,200 penduduk dipindahkan akibat kebakaran hutan di Sepanyol

Kebakaran hutan terus marak di kawasan pergunungan utara Madrid, memaksa lebih 1,200 penduduk dipindahkan/Foto AFP

MADRID, 20 Julai – Lebih 1,200 penduduk dipindahkan susulan kebakaran hutan besar yang terus marak di kawasan pergunungan utara Madrid, menurut pihak bomba.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebakaran berhampiran kampung La Mierla memusnahkan lebih 26,000 hektar kawasan.
  • Operasi pemadaman memberi keutamaan keselamatan; hampir 30 penempatan kecil kini dikelilingi api, menyukarkan kawalan.
  • Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah melaporkan lebih 393,000 hektar musnah di Sepanyol sepanjang 2025, rekod tertinggi.

Kebakaran yang bermula Khamis lalu berhampiran kampung La Mierla di wilayah Castilla-La Mancha itu telah memusnahkan lebih 26,000 hektar kawasan, bersamaan keluasan bandar Edinburgh di Scotland.

Pihak berkuasa mengarahkan pemindahan penduduk dari empat lagi kampung lewat Ahad, menjadikan jumlah keseluruhan penduduk yang dipindahkan melebihi 1,200 orang.

Ketua Kerajaan Wilayah Castilla-La Mancha, Emiliano Garcia-Page, berkata usaha besar-besaran sedang digerakkan bagi mengawal kebakaran dengan keutamaan diberikan kepada keselamatan penduduk dan penempatan.

Menurutnya, operasi pemadaman menjadi lebih mencabar kerana kebakaran melanda kawasan luar bandar yang mempunyai hampir 30 penempatan kecil yang kini dikelilingi api.

Sementara itu, anggota bomba berjaya mengawal satu lagi kebakaran hutan berhampiran Zaragoza di timur laut Sepanyol selepas memusnahkan kira-kira 15,000 hektar kawasan.

Awal bulan ini, kebakaran hutan di wilayah Almeria mengorbankan 13 nyawa dan memusnahkan kira-kira 7,000 hektar kawasan.

Saintis menyatakan perubahan iklim akibat aktiviti manusia meningkatkan tempoh, intensiti dan kekerapan gelombang haba, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran hutan yang lebih dahsyat.

Menurut Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah, lebih 393,000 hektar kawasan di Sepanyol musnah akibat kebakaran sepanjang 2025, rekod tertinggi dalam sejarah moden negara itu.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.