Lelaki dipercayai dibaham buaya ketika cuci bot ditemukan maut

Foto JBPM Sabah

KINABATANGAN, 18 Julai – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya ketika mencuci bot di Sungai Kinabatangan, Kampung Batu Putih, petang semalam, ditemukan meninggal dunia awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anak menyaksikan bapanya disambar buaya ketika mencuci bot di tebing sungai.
  • Mangsa ditemukan orang awam kira-kira 4.45 pagi, 500 meter ke hilir dari lokasi serangan.
  • Pemeriksaan menunjukkan kesan gigitan pada perut dan leher kanan; pasukan perubatan mengesahkan mangsa meninggal, mayat diserahkan kepada polis.

Mangsa, Rusli Mardin, 57 tahun, ditemukan orang awam kira-kira pukul 4.45 pagi, sekitar 500 meter dari lokasi dia dipercayai diserang reptilia berkenaan.

Kejadian disaksikan anak mangsa yang memaklumkan bapanya disambar buaya sebelum hilang dari pandangan ketika sedang mencuci bot di tebing sungai.

Susulan kejadian itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan menerima panggilan kecemasan pada jam 6.31 petang sebelum menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ke lokasi.

Bagaimanapun, operasi SAR terpaksa ditangguhkan pada jam 8.45 malam berikutan keadaan gelap dan disambung semula pada awal pagi tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, mangsa akhirnya ditemukan oleh orang awam kira-kira 500 meter ke hilir dari lokasi kejadian.

“Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kesan gigitan pada bahagian perut dan leher sebelah kanan, dipercayai akibat serangan buaya,” menurut kenyataan itu.

Pasukan perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.