IRC 2026 perkukuh peranan Malaysia dalam kawal selia digital global

Datuk Zulkarnain Mohd Yasin berkata IRC 2026 menjadi platform memperkukuh peranan Malaysia dalam membentuk hala tuju kawal selia digital di peringkat antarabangsa.

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Penganjuran Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 dijangka menjadi platform penting bagi memperkukuh peranan Malaysia dalam membentuk hala tuju kawal selia digital di peringkat antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hasil persidangan dijangka menjadi rujukan untuk menggubal dasar, memperkemas peraturan dan memantapkan mekanisme kawal selia digital negara.
  • IRC membina keyakinan serta memupuk tanggungjawab bersama antara pihak berkepentingan dalam memastikan keselamatan dan ketelusan ekosistem digital.
  • Persidangan memberi peluang kepada ahli akademik menjalankan kajian susulan bagi memastikan inovasi teknologi masa hadapan dapat dikawal selia dengan kemas.
  • IRC 2026 menghimpunkan pakar teknologi, kesihatan mental, perkembangan kanak-kanak dan organisasi antarabangsa; tema: "Shaping the Next Digital Era: Regulation, Resilience and Trust".

Persidangan itu turut mencerminkan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai antara peneraju dalam bidang kawal selia digital di rantau ASEAN dan antarabangsa, selain meningkatkan keyakinan rakyat serta pelabur terhadap ekosistem digital negara yang lebih telus, selamat dan diyakini.

Penasihat Kanan Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Zulkarnain Mohd Yasin berkata, hasil persidangan itu dijangka menjadi rujukan dalam menggubal dasar, memperkemas peraturan serta memantapkan mekanisme kawal selia digital negara, sekali gus menyokong pelaksanaan undang-undang berkaitan keselamatan dalam talian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di RTM.

“IRC ialah platform untuk membina keyakinan dan membentuk tanggungjawab bersama. Ia juga memberi peluang kepada ahli akademik melihat ruang untuk menjalankan kajian susulan bagi memastikan teknologi masa hadapan dapat diinovasikan serta dikawal selia dengan lebih kemas.

“Persidangan ini bukan sekadar membawa suara Malaysia ke pentas antarabangsa, malah menjadi sebahagian daripada proses membentuk keyakinan bahawa kebertanggungjawaban penting bagi memastikan ekosistem dan teknologi yang dibangunkan mempunyai unsur kebertanggungjawaban daripada semua pihak,” katanya.

Persidangan itu turut menghimpunkan pakar dalam bidang teknologi, kesihatan mental dan perkembangan kanak-kanak, termasuk wakil organisasi antarabangsa.

IRC 2026 akan berlangsung pada 21 hingga 22 Julai di Kuala Lumpur dengan tema “Shaping the Next Digital Era: Regulation, Resilience and Trust” sebagai kesinambungan kepada penganjurannya sejak 2024.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.