
KUALA LUMPUR, 16 Julai – Kementerian Komunikasi dengan penglibatan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan membuka tiga Pusat Media sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 bagi memudahkan urusan liputan pengamal media sepanjang tempoh pilihan raya.
- Pusat media beroperasi 17 Julai hingga 1 Ogos 2026, waktu 9 pagi hingga 7 malam.
- Tiga lokasi utama: Hotel Seri Malaysia Seremban; NADI Kampung Paya Port Dickson; NADI Kampung Gentam Kuala Pilah.
- MCMC membuka kaunter aduan di ketiga-tiga pusat untuk memantau isu liputan Internet, gangguan telekomunikasi dan kandungan dalam talian.
- 60 NADI diaktifkan sebagai Pusat Media Sokongan untuk membantu liputan lokaliti lain dan menyediakan kemudahan Internet.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Komunikasi memaklumkan pusat media berkenaan akan beroperasi bermula pada 17 Julai (esok) hingga 1 Ogos 2026, dari 9 pagi hingga 7 malam.
Tiga lokasi tersebut ialah Hotel Seri Malaysia, Seremban, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Paya di Port Dickson dan NADI Kampung Gentam, Kuala Pilah.
“Semua pengamal media dijemput untuk menggunakan kemudahan disediakan serta mendapatkan maklumat berkaitan pilihan raya di pusat-pusat media berkenaan,” katanya.
Selain itu, sebanyak 60 NADI di seluruh Negeri Sembilan akan diaktifkan sebagai Pusat Media Sokongan bagi membantu pengamal media yang membuat liputan di lokaliti lain, termasuk menyediakan kemudahan Internet.
Dalam masa sama, MCMC akan turut membuka kaunter aduan di ketiga-tiga pusat media utama ini bagi memantau dan menyelaras isu berkaitan liputan Internet, gangguan telekomunikasi serta kandungan dalam talian, termasuk isu berkaitan 3R, penipuan dan penyamaran.
“Pengamal media yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi penyelaras di setiap Pusat Media PRN, Negeri Sembilan Ke-16 yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu lagi.