
KOTA BHARU, 16 Julai – Kementerian Kerja Raya (KKR) mengenal pasti 50 daripada 865 projek di seluruh negara berstatus ‘sakit’, dengan tujuh daripadanya melibatkan projek di Kelantan.
- Punca projek 'sakit' termasuk masalah kewangan syarikat, pengurusan lemah, isu pengambilan tanah, utiliti dan lot baharu.
- KKR memantau projek rapi bagi mengenal pasti punca kelewatan serta menilai kemajuan pelaksanaan.
- Isu projek 'sakit' dibincangkan setiap minggu selepas Mesyuarat Pasca Kabinet untuk tentukan langkah penyelesaian.
- Timbalan Menteri Ahmad Maslan dilantik memantau; kementerian teliti penamatan kontrak, elak tindakan undang-undang serta pertimbangan lanjutan tempoh projek hampir siap.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, semua projek berkenaan kini dipantau rapi bagi mengenal pasti punca kelewatan serta menilai kemajuan sebenar pelaksanaannya.
“Projek sakit ini selalunya berpunca daripada masalah kewangan syarikat, pengurusan syarikat yang lemah dan kadang-kadang bukan semata-mata kelemahan kontraktor. Ada juga projek yang berdepan isu pengambilan tanah, utiliti serta lot baharu yang perlu diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke Projek Menaik Taraf Jalan Persekutuan FT209 dan FT131 dari Persimpangan Bertingkat Pasir Hor ke Panchor, di sini, hari ini.
Menurut beliau, antara projek berstatus ‘sakit’ di Kelantan ialah pembinaan Sekolah Kebangsaan Ahmad Maher, Jambatan Sungai Durian, Sekolah Kebangsaan Raja Abdullah, projek menaik taraf Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kolej Kediaman Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok, Jalan Masuk dan Persimpangan Ladang Serasa di Gua Musang serta Jambatan Kuala Balah di Jeli.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Alexander berkata isu projek berstatus ‘sakit’ turut dibincangkan setiap minggu selepas Mesyuarat Pasca Kabinet bagi meneliti perkembangan semasa serta mengenal pasti langkah penyelesaian yang perlu diambil bagi memastikan projek dapat diteruskan mengikut jadual.
Beliau berkata, bagi memperkukuh pemantauan, beliau turut melantik Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan untuk memantau perkembangan projek berstatus ‘sakit’ dari semasa ke semasa.
Katanya, sebarang keputusan termasuk menamatkan kontrak sesuatu projek perlu dibuat secara teliti bagi mengelakkan tindakan undang-undang serta pertambahan kos akibat pelantikan kontraktor baharu.
Bagi projek yang hampir siap, kementerian akan mempertimbangkan pemberian lanjutan tempoh bagi membolehkan projek disiapkan.