18 warga China ditahan disyaki terbabit penipuan dalam talian

Foto Facebook Polis Perak

IPOH, 16 Julai – Polis menahan 18 lelaki warga China yang disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian menerusi dua serbuan berasingan di sekitar Ipoh, Isnin lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serbuan dilakukan di sebuah apartmen dan sebuah rumah hasil risikan polis.
  • Pelbagai peralatan elektronik dirampas, termasuk komputer riba dan telefon bimbit.
  • Nilai barang rampasan dianggarkan RM78,000.
  • Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 420, Seksyen 120B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, serbuan dilakukan di sebuah apartmen di Laluan Ipoh Permai 3 dan sebuah rumah di Taman Tasek Indra hasil risikan polis.

Hasil pemeriksaan di kedua-dua premis menemukan pelbagai peralatan elektronik yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan dalam talian.

Antara barangan yang dirampas ialah komputer riba, telefon bimbit dan peralatan lain dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM78,000.

Analisis awal terhadap peranti yang dirampas mendapati ia dipercayai digunakan bagi mengendalikan aktiviti penipuan melibatkan penggunaan instrumen kewangan serta akaun bank milik pihak lain.

Kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 120B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.