
KUALA LUMPUR, 16 Julai – Kerajaan memperketat syarat permohonan lesen sampan khas bagi memastikan hanya nelayan tulen yang benar-benar layak dan memerlukan diberikan kelulusan.
- Kriteria diperketat: sekurang-kurangnya 10 tahun pengalaman kru, turun laut 120 hari setahun, pemilik sampan, tidak pernah ada lesen, sokongan Jabatan Perikanan.
- Pemohon mesti berusia 18 tahun ke atas, sihat, bekerja sebagai nelayan; pencen tidak melebihi RM2,200 untuk layak.
- Pelesenan berdasarkan kawalan kapasiti dan pengurusan mampan; 915 lesen diluluskan 2024 berbanding 800 pada 2023.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah itu diambil bagi mengelakkan golongan yang tidak memenuhi kriteria mengambil peluang sehingga menjejaskan peluang nelayan sebenar,
“Memang kriteria memohon lesen sampan khas diperketatkan. Dia mesti sekurang-kurangnya 10 tahun berpengalaman sebagai kru, nelayan tulen, sekurang-kurangnya turun 120 hari ke laut dalam masa setahun, mempunyai sampan, tidak pernah memiliki lesen sebelum ini dan mendapat sokongan Jabatan Perikanan negeri,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal di Dewan Rakyat, hari ini.
Datuk Seri Mohamad berkata, syarat lain yang ditetapkan termasuk pemohon berusia 18 tahun ke atas, sihat tubuh badan dan bekerja sebagai nelayan.
Beliau berkata, bagi pemohon yang menerima pencen, jumlah pencen tidak boleh melebihi RM2,200.
“Ada yang pencen RM3,000 hingga RM4,000 pun memohon untuk jadi nelayan sampan. Ini mengambil ruang kepada mereka yang betul-betul memerlukan,” katanya.
Beliau turut meminta sebarang dakwaan individu bukan nelayan memperoleh lesen sampan khas dilaporkan secara bertulis atau terus kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Datuk Seri Mohamad memaklumkan, Kementeriannya menerusi Jabatan Perikanan melaksanakan sistem pelesenan berdasarkan dasar pengawalan kapasiti penangkapan ikan dan pengurusan sumber perikanan secara mampan bagi memastikan sumber perikanan negara terus terpelihara.
Menurut beliau, sebanyak 915 lesen sampan khas diluluskan di seluruh negara pada 2024, termasuk 31 di Perak, berbanding 800 lesen pada 2023 dengan tujuh daripadanya di negeri itu.