Kerajaan salur RM12.23 juta untuk program Celik MADANI, Dharma MADANI

Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Sutekno Ahmad Belon (di tengah berkemeja putih) / Foto RTM

PUTRAJAYA, 15 Julai – Kerajaan menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) memperuntukkan sebanyak RM12.23 juta bagi tujuan pelaksanaan program Bantuan Subsidi Pendidikan Awal Celik MADANI 2026 Siri 2 dan program Dharma MADANI Siri 3.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan RM8.87 juta untuk subsidi pendidikan awal, manfaat kepada 162 tadika dan 3,612 kanak-kanak India B40 berumur empat hingga enam tahun.
  • Sebanyak RM3.36 juta disalurkan bagi manfaat 168 rumah ibadat Hindu.
  • Kerajaan menekankan pengurusan peruntukan dengan integriti, ketelusan dan akauntabiliti agar manfaat dinikmati sepenuhnya.

Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Sutekno Ahmad Belon berkata, program Bantuan Subsidi Pendidikan Awal Celik MADANI 2026 Siri 2 melibatkan peruntukan RM8.87 juta dengan sebanyak 162 tadika yang menerima manfaat terdiri daripada seramai 3,612 kanak-kanak India keluarga B40 berusia antara empat hingga enam tahun.

Manakala sebanyak RM3.36 juta disalurkan bagi program Dharma MADANI Siri 3 melibatkan sebanyak 168 rumah ibadat Hindu.

“Saya berharap para pengusaha tadika serta pengurusan rumah ibadat Hindu akan menguruskan peruntukan ini dengan penuh integriti, ketelusan dan akauntabiliti agar manfaatnya dapat dinikmati sepenuhnya oleh masyarakat.

“Bantuan dan peruntukan yang disalurkan ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar kepada semua penerima,” katanya.

Beliau yang membacakan teks ucapan Menteri Sumber Manusia pada majlis perasmian kedua-dua program berkenaan di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 120 wakil rumah ibadat Hindu dan 117 pengusaha tadika menerima surat kelulusan program selepas sesi penyerahan pertama dilaksanakan pada 7 Julai lalu.

Tambah beliau, dengan peruntukan yang disalurkan itu sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan komuniti India melalui pendidikan, pembangunan modal insan, dan pemerkasaan institusi masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.