Piala Dunia: Aksi Perancis-Sepanyol dimulakan dengan bertafakur kenang tragedi Nice

Tragedi Nice pada 14 Julai 2016 meragut 86 nyawa dengan lebih 400 yang lain cedera – Foto AFP

PARIS, 13 Julai – Upacara bertafakur selama seminit akan diadakan sebelum aksi separuh akhir Piala Dunia FIFA 2026 antara Perancis dengan Sepanyol pada pagi Rabu (waktu Malaysia), umum Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

RINGKASAN BERITA AI
  • Upacara bertafakur satu minit akan diadakan sebelum separuh akhir Perancis lawan Sepanyol.
  • Presiden Macron mengumumkan langkah itu dan berterima kasih kepada Presiden FIFA Gianni Infantino atas sokongan.
  • Upacara itu untuk memperingati mangsa serangan di Nice sempena ulang tahun kesepuluh tragedi.
  • Kumpulan Daesh mengaku bertanggungjawab. Penyerang dikatakan dipengaruhi fahaman radikal dan ditembak mati oleh polis.

Ia bagi memperingati ulang tahun ke-10 tragedi serangan di bandar Nice, selatan Perancis yang meragut puluhan nyawa semasa sambutan Hari Bastille.

Kedua-dua pasukan akan bertemu di Dallas pada 14 Julai, hari berdarah yang menyaksikan 86 orang terkorban, manakala lebih 400 yang lain cedera apabila seorang pemandu trak merempuh orang ramai yang sedang meninggalkan lokasi pertunjukan bunga api.

“Sebelum perlawanan Perancis menentang Sepanyol, upacara bertafakur selama seminit akan diadakan bagi memperingati mangsa serangan di Nice, 10 tahun selepas tragedi 14 Julai 2016,” kata Macron menerusi hantaran di platform X.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden FIFA, Gianni Infantino.

“Terima kasih kepada Presiden FIFA kerana memenuhi permintaan Perancis dan seluruh rakyat Perancis. Kita tidak akan melupakan tragedi itu.”

Kumpulan Daesh (IS) mengaku mendalangi serangan itu dengan mendakwa penyerangnya, Mohamed Lahouaiej-Bouhlel, seorang lelaki Tunisia berusia 31 tahun yang telah dipengaruhi fahaman radikal, sebagai pengikut mereka.

Penyerang terbabit ditembak mati oleh polis di lokasi kejadian.

Serangan di Nice berlaku kurang setahun selepas siri serangan pengganas di Paris dan kawasan sekitarnya pada 13 November 2015 yang mengorbankan 130 orang. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.