
KUALA LUMPUR, 13 Julai – Singapura antara pemacu utama perdagangan serta pelaburan di negara ini, sekali gus menjadi rakan yang amat dihargai dan bukan sekadar jiran terdekat Malaysia.
- JS-SEZ mencerminkan kerjasama memajukan pertumbuhan ekonomi serantau dan mewujudkan peluang baharu dalam ASEAN.
- Titah Sultan Ibrahim disampaikan melalui hantaran Facebook rasmi baginda.
- Pertemuan dengan Presiden Tharman semasa Istiadat Sambutan Negara bersempena Lawatan Negara beliau ke Malaysia.
- Pelancaran RTS Link dijangka hujung tahun, mengukuhkan jaringan, menarik pelaburan dan memperkukuh kedua negara sebagai pintu masuk ke ASEAN.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara terus mencatatkan pertumbuhan, walaupun berdepan keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
“Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) turut mencerminkan kerjasama untuk memajukan pertumbuhan ekonomi serantau serta mewujudkan peluang baharu dalam ASEAN,”titah Baginda menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Baginda bertitah demikian semasa pertemuan bersama Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam dalam Istiadat Sambutan Negara bersempena dengan Lawatan Negara pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan pada September 2023.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut menyuarakan keyakinan pelancaran Sistem Transit Segera Johor Bahru-Singapura (RTS Link) pada penghujung tahun ini, bakal mengukuhkan lagi jaringan keterhubungan Malaysia dan Singapura.
“Bersama dengan JS-SEZ, saya yakin RTS Link akan memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan serta mengukuhkan kedudukan Malaysia dan Singapura sebagai pintu masuk utama ke pasaran ASEAN,”titah Yang di-Pertuan Agong.