
WASHINGTON, 13 Julai – Tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan gelombang serangan udara besar-besaran terbaharu ke atas puluhan sasaran di Iran pada Ahad, selepas pertempuran yang kembali tercetus di Selat Hormuz.
- Sasarannya termasuk Pulau Qeshm, Bandar Abbas dan beberapa kawasan di wilayah Khuzestan berhampiran sempadan Iraq.
- Letupan dan serangan menewaskan beberapa orang termasuk seorang pekerja telekomunikasi di Pulau Farur; anggota tentera dan awam turut terkorban.
- Pemimpin antarabangsa menggesa ketegangan diringankan: Pakistan menyeru rundingan, PBB menuntut serangan dihentikan segera.
Menurut kenyataan Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM), operasi terbaharu yang bermula pada pukul 9.00 (waktu tempatan) itu menyusuli kira-kira 140 serangan udara yang telah dilancarkan oleh pasukan AS pada malam sebelumnya.
Media rasmi Iran melaporkan bedilan berturut-turut oleh tentera AS itu menyasarkan kawasan yang luas di bahagian selatan dan barat negara berkenaan.
Antara lokasi utama yang menjadi sasaran serangan termasuk Pulau Qeshm dan Bandar Abbas yang terletak berhampiran selat strategik berkenaan, selain beberapa kawasan di dalam wilayah Khuzestan yang bersempadan dengan Iraq.
Sekurang-kurangnya 10 “peluru berpandu musuh” dilaporkan melanda Pulau Qeshm, manakala serangan udara di Pulau Farur, timur Qeshm, mengorbankan seorang pekerja telekomunikasi dan mencederakan dua yang lain.
Agensi berita rasmi Iran, IRNA turut melaporkan letupan kuat berlaku di Bandar Abbas, Sirik, dan Jask, selain mengesahkan seorang anggota tentera terkorban dalam rangkaian operasi udara AS tersebut.
Di wilayah barat daya, bedilan AS dilaporkan mengenai sebuah stesen pengepaman air di bandar Mahshahr, mengakibatkan seorang mangsa terkorban manakala empat yang lain mengalami kecederaan.
Kementerian Luar Iran dalam satu kenyataan rasmi menegaskan bahawa serangan udara besar-besaran oleh tentera AS pada Ahad itu telah mengembalikan suasana tidak selamat di Selat Hormuz.
Rentetan insiden berkenaan, Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar, yang bertindak sebagai pengantara konflik tersebut, menggesa agar kedua-dua pihak meredakan konflik dengan segera dan kembali ke meja rundingan.
“Dialog dan diplomasi kekal sebagai satu-satunya jalan yang boleh dilaksanakan untuk menyelesaikan pertikaian dan mencapai keamanan yang berkekalan,” kata Dar.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres turut menggesa keamanan diwujudkan dengan jurucakapnya menegaskan bahawa “serangan-serangan berkenaan mesti dihentikan segera”, ujarnya.- AFP