315 mayat mangsa gempa Venezuela masih belum dikenal pasti

Angka korban akibat dua gempa bumi di Venezuela kini melepasi 4,333 orang, manakala 16,740 lagi cedera. / Foto AFP

CARACAS, 12 Julai – Sebanyak 315 mayat mangsa gempa bumi di Venezuela masih belum dapat dikenal pasti, meskipun usaha pengecaman terus dilakukan pihak berkuasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Korban lebih 4,333 orang manakala 16,740 cedera akibat dua gempa bumi 24 Jun.
  • Seramai 6,462 mangsa berjaya diselamatkan; 856 bangunan rosak dan 190 lagi runtuh.
  • 94 kem sementara menempatkan 18,437 orang; 17,907 masih tiada kediaman tetap.
  • 9,766 tan makanan dan lebih 16.6 juta liter air diagihkan; 31,193 pesakit menerima rawatan perubatan.

Presiden Dewan Nasional Venezuela, Jorge Rodriguez berkata identiti mangsa sukar dipastikan kerana tiada rekod pengenalan diri yang boleh dipadankan.

“Sehingga semalam, terdapat 315 mayat yang masih belum dikenal pasti kerana identiti mereka tidak dapat dipastikan.

“Malah, sekiranya cap jari dapat diambil, kami masih tidak dapat memadankannya dengan sebarang bentuk pengenalan diri,” katanya pada satu sidang media khas mengenai perkembangan terkini bencana itu, di sini.

Terdahulu, Rodriguez berkata angka korban akibat dua gempa bumi itu kini melepasi 4,333 orang, manakala 16,740 lagi cedera.

Seramai 6,462 orang berjaya diselamatkan, manakala 856 bangunan rosak dan 190 lagi runtuh.

Pihak berkuasa turut membuka 94 kem sementara yang menempatkan 18,437 orang, sementara 17,907 lagi masih belum mempunyai kediaman tetap.

“Rodriguez berkata Presiden Delcy Rodriguez dijadualkan menyerahkan 200 unit rumah pertama pada minggu depan,” jelasnya.

Beliau berkata 9,766 tan metrik makanan dan lebih 16.6 juta liter air telah diagihkan, manakala 31,193 pesakit menerima rawatan perubatan.

Menurut laporan rasmi terkini kerajaan, sebanyak 86,794 keluarga telah menerima bantuan susulan bencana bulan lalu.

Dua gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud melanda Venezuela pada 24 Jun, dengan jarak hanya 39 saat antara satu sama lain.

Bencana itu mengakibatkan kemusnahan meluas dan mencetuskan tindak balas kemanusiaan berskala besar. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.