
WENZHOU, 11 JULAI – Lebih 900,000 penduduk dipindahkan di China ketika Taufan Bavi menghampiri pantai timur negara itu.
- Hujan lebat dan banjir di selatan dan tengah China menyebabkan sekurang-kurangnya 39 maut, sungai melimpah dan sebuah empangan pecah.
- Taiwan: angin kencang dan hujan, lebih 14,000 dipindahkan, ratusan penerbangan dibatalkan dan ombak dijangka setinggi 10 meter.
- Filipina alami tanah runtuh membunuh 18 dan hampir 11,000 dipindahkan; Jepun pula terjejas dengan gangguan elektrik dan pembatalan penerbangan.
Bencana berkenaan turut membadai utara Taiwan dan kepulauan barat daya Jepun, menurut pihak berkuasa tempatan pada Sabtu.
Cuaca ekstrem yang melanda selatan dan tengah China sejak awal minggu ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 39 nyawa, selain menyebabkan puluhan sungai melimpah dan sebuah empangan takungan air pecah.
Taufan Bavi dijangka membadai bandar Wenzhou di wilayah Zhejiang pada awal Ahad yang memaksa seramai 887,801 penduduk dipindahkan sehingga lewat Jumaat sebagai langkah berjaga-jaga.
“Pengerahan besar-besaran ini dilaksanakan tanpa mengira kos bagi menghadapi sebarang kemungkinan terburuk,” menurut kenyataan pihak berkuasa Wenzhou.
Di bahagian utara China pula, hujan lebat memaksa lebih 100,000 penduduk dipindahkan selepas paras air meningkat, manakala pelepasan air dari Takungan Miyun di Beijing dipertingkat bagi mengurangkan risiko banjir.
Di Taiwan, kebanyakan perniagaan ditutup untuk hari kedua berturut-turut susulan angin kencang dan hujan lebat.
Lebih 14,000 penduduk dipindahkan, ratusan penerbangan dibatalkan dan lebih 170,000 isi rumah terputus bekalan elektrik akibat taufan tersebut.
Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan (CWA) memaklumkan Taufan Bavi kini mencatatkan kelajuan angin maksimum 137 kilometer sejam.
CWA turut memberi amaran mengenai jangkaan hujan lebat luar biasa di utara Taiwan serta ombak setinggi sehingga 10 meter di kawasan pesisir pantai.
Sementara itu, di Filipina, jumlah korban akibat tanah runtuh dan kejadian berkaitan hujan lebat yang dibawa Taufan Bavi meningkat kepada 18 orang, kebanyakannya di pulau Mindanao.
Hampir 11,000 penduduk di seluruh kepulauan itu dipindahkan, manakala puluhan pelabuhan masih ditutup dengan 313 kapal berlindung daripada cuaca buruk.
Di Jepun pula, lebih 18,000 isi rumah dan premis di Okinawa terputus bekalan elektrik, sementara puluhan penerbangan dibatalkan, menjejaskan lebih 26,000 penumpang.
Pakar cuaca menjangkakan suhu laut yang lebih panas, ditambah dengan fenomena El Nino, berpotensi meningkatkan kekuatan ribut tropika dan menghasilkan hujan yang lebih lebat dalam tempoh beberapa bulan akan datang. – AFP