
GEORGE TOWN, 10 Julai – Kelulusan projek infrastruktur utama Pulau Pinang dibuat berdasarkan keperluan pembangunan serta kepentingan negara dan bukannya pertimbangan politik semata-mata.
- Projek infrastruktur penting untuk menangani cabaran semasa dan mengekalkan Pulau Pinang sebagai pemacu utama ekonomi negara.
- Pulau Pinang masih menerima agihan hasil lebih rendah berbanding sumbangannya kepada Kerajaan Persekutuan.
- Projek mesti dilaksanakan berdasarkan keperluan tanpa mengira penadbir negeri, contoh ECRL diteruskan walaupun negeri ditadbir pembangkang.
Tegas Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow projek berkenaan amat penting bagi menangani cabaran semasa serta memastikan ia terus berperanan sebagai antara pemacu utama ekonomi negara.
Pulau Pinang masih menerima agihan hasil yang lebih rendah berbanding sumbangannya kepada Kerajaan Persekutuan.
Tegasnya, konsep federalisme tidak membolehkan setiap negeri menuntut pulangan sepenuhnya berdasarkan hasil yang disumbangkan.
Ini berikutan Kerajaan Persekutuan mempunyai tanggungjawab membiayai perkhidmatan awam dan pembangunan di seluruh negara.
“Setiap pandangan perlu dibuat berdasarkan kefahaman menyeluruh terhadap sistem persekutuan, termasuk peranan, tanggungjawab dan bidang kuasa kerajaan.
“Tiada sistem yang benar-benar adil jika hanya melihat kepada aspek agihan semata-mata.
“Sebaliknya, sesuatu projek perlu dilaksanakan berdasarkan keperluan, tanpa mengira sama ada negeri berkenaan ditadbir oleh kerajaan yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan atau sebaliknya.
“Sebagai contoh, projek ECRL tetap diteruskan di negeri yang ditadbir oleh pembangkang. Jika pertimbangan politik diambil kira, projek tersebut mungkin sudah lama dihentikan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Penang Ferry Run 2026 di sini.