Sime Darby Property perkukuh E-Metro Logistics Park sebagai hab logistik

Foto RTM

KLANG, 10 Julai – Sime Darby Property Bhd komited untuk mengukuhkan kedudukan E-Metro Logistics Park sebagai hab logistik dan perindustrian utama negara menerusi pembinaan dua kemudahan logistik Gred A baharu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penambahan 2.2 juta kaki persegi ruang logistik Gred A dan sumbangan kira-kira RM800 juta kepada AUM Sime Darby Property.
  • Metrohub 1 dan Metrohub 2 kini mencapai 100 peratus penghunian, menempatkan penyewa e-dagang, logistik pihak ketiga dan rantaian bekalan.
  • Metrohub 4 seluas kira-kira 1.38 juta kaki persegi merupakan gudang sedia bina yang menempatkan penyewa terbesar dalam portfolio Metrohub.
  • Metrohub 3 dijangka siap suku ketiga 2027, terdiri dua blok seluas 840,000 kaki persegi termasuk kemudahan stor barang berbahaya.

Pengarah Urusan Pembangunan Hartanah Sime Darby Property, Datuk Mohd Sohimin Mohd Alayedin berkata syarikat itu bersama rakan usaha samanya, ESR telah menyiapkan Metrohub 4 serta bakal membina Metrohub 3.

”Apabila kedua-dua fasa ini siap sepenuhnya, ia akan menambah 2.2 juta kaki persegi ruang logistik Gred A serta menyumbang kira-kira RM800 juta kepada nilai aset di bawah pengurusan (AUM) Sime Darby Property,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan Metrohub 4 dan pecah tanah Metrohub 3, di sini hari ini.

Tambahnya, dua kemudahan baharu yang terletak di Bandar Bukit Raja itu bertujuan memenuhi permintaan berterusan terhadap ruang logistik moden di lokasi strategik di Selangor.

Dua fasa pertama pembangunan iaitu Metrohub 1 dan Metrohub 2 kini telah mencapai kadar penghunian 100 peratus, dengan penyewa terdiri daripada syarikat dalam sektor e-dagang, logistik pihak ketiga serta rantaian bekalan.

Menurut beliau, Metrohub 4 yang berkeluasan kira-kira 1.38 juta kaki persegi, merupakan gudang siap bina yang menempatkan penyewa terbesar dalam portfolio Metrohub.

Sementara itu, Metrohub 3 dijadual siap pada suku ketiga 2027 merangkumi dua blok gudang berasingan dengan keluasan keseluruhan kira-kira 840,000 kaki persegi.

Salah satu blok gudang itu dilengkapi kemudahan penyimpanan barangan berbahaya, sekali gus memberikan fleksibiliti lebih tinggi kepada pelanggan untuk mengendalikan pelbagai jenis kargo secara selamat dalam satu kemudahan bersepadu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.