Malaysia gesa ASEAN, Korea Selatan perkukuh kerjasama AI, inovasi digital

Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Amran Mohamed Zin mengetuai delegasi Malaysia selaku Pegawai Kanan ASEAN-Malaysia pada Dialog ASEAN-Republik Korea (ROK) Ke-30 di Seoul./ Wisma Putra

PUTRAJAYA, 10 Julai – Malaysia menggesa kerjasama lebih erat antara ASEAN dan Republik Korea (ROK) dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI), khususnya bagi mempercepat penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang beretika, selamat dan terangkum di rantau ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelan Tindakan ASEAN-Republik Korea 2026–2030 dijadikan kerangka utama pelaksanaan Perkongsian Strategik Komprehensif antara kedua pihak.
  • Mesyuarat membincangkan pengembangan kerjasama keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya, termasuk daya tahan digital serta industri kreatif.
  • Korea Selatan sedia berkongsi kepakaran AI untuk galak pertumbuhan bersama negara-negara ASEAN; Malaysia tekad terus memperkukuh hubungan.

Gesaan itu disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Amran Mohamed Zin yang mengetuai delegasi Malaysia selaku Pegawai Kanan ASEAN-Malaysia pada Dialog ASEAN-Republik Korea (ROK) Ke-30 di Seoul, Korea Selatan pada 7 Julai.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, Malaysia turut menggesa kerjasama dipertingkat bagi memacu inovasi digital, memperkukuh kesediaan digital ASEAN, mempertingkat tadbir urus data serta memastikan transaksi digital yang lebih selamat di seluruh rantau.

“Malaysia menyeru agar kerjasama ASEAN-Republik Korea diperkukuh dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi, khususnya bagi menyokong integrasi kecerdasan buatan (AI) yang beretika, selamat dan terangkum, di samping mempercepat inovasi digital, memperkukuh kesediaan digital ASEAN serta tadbir urus data dan transaksi digital yang terjamin,” menurut kenyataan itu.

Dialog berkenaan turut meneliti kemajuan pelaksanaan Pelan Tindakan ASEAN-Republik Korea (2026–2030) yang menjadi kerangka utama bagi melaksanakan Perkongsian Strategik Komprehensif (Comprehensive Strategic Partnership, CSP) antara kedua-dua pihak.

Selain itu, para pegawai kanan turut bertukar pandangan mengenai usaha memperluas kerjasama dalam bidang keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya, termasuk memperkukuh daya tahan digital, industri kreatif serta kerjasama teknologi baharu.

Korea Selatan turut membentangkan hasrat untuk berkongsi kepakaran dalam AI dan menggalakkan pertumbuhan bersama dengan negara-negara ASEAN.

Mesyuarat itu juga membincangkan perkembangan semasa di peringkat serantau dan antarabangsa, termasuk situasi di Asia Barat, Myanmar, Semenanjung Korea serta isu keselamatan serantau.

Malaysia turut menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan ASEAN dengan rakan dialog, termasuk Korea Selatan, bagi memastikan rantau ini kekal aman, stabil dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran geopolitik serta transformasi digital.

Hubungan ASEAN-Republik Korea dipertingkat kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2024, manakala Pelan Tindakan ASEAN-Republik Korea 2026–2030 menjadi panduan pelaksanaan kerjasama dalam tiga teras utama, iaitu politik dan keselamatan, ekonomi serta sosiobudaya bagi tempoh lima tahun akan datang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.