
PENGKALAN HULU, 9 Julai – Seorang wanita warga emas maut manakala dua lelaki cedera selepas dua kereta bertembung di Jalan Baling-Kuala Kangsar berhampiran sebuah kilang peleburan bijih timah di Klian Intan, di sini, hari ini.
- Mangsa 63 tahun tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan.
- Bomba dari BBP Pengkalan Hulu menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa selepas menjalankan penilaian awal.
- Kedua pemandu lelaki lingkungan 40-an cedera ringan, dirawat lalu dihantar ke hospital; mayat diserahkan kepada polis.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 63 tahun yang menaiki Perodua Kancil, tersepit di tempat duduk penumpang hadapan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Hulu dihantar ke lokasi.
Beliau berkata, setibanya di tempat kejadian, pihak bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Kancil dan Proton Saga yang bertembung dari arah bertentangan.
“Ketua operasi menjalankan penilaian awal sebelum mengarahkan anggota menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa wanita yang tersepit.
“Mangsa kemudian diperiksa pasukan perubatan yang mengesahkan beliau meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Menurut Sabarodzi, kedua-dua pemandu lelaki berusia lingkungan 40-an mengalami kecederaan ringan dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.