
KUALA LUMPUR, 7 Julai – Pesta Kuantan 188 kembali berlangsung dari 31 Julai hingga 2 Ogos ini bersempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang, dengan menampilkan 14 acara utama serta dijangka menarik lebih 100,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa.
- Pesta Kuantan 188 kini menjadi acara tahunan dalam kalendar promosi Tourism Malaysia dan disenaraikan dalam pengisian Tahun Melawat Malaysia 2026.
- Penganjuran acara menyumbang kira-kira tujuh peratus kepada pelancongan domestik serta memberi impak besar kepada ekonomi dan komuniti setempat.
- "Kuantan 188 Towerthon Challenge" mampu menarik peserta antarabangsa dan memperkukuh Pahang sebagai destinasi pelancongan acara.
- Pesta ini contoh kerjasama strategik awam-swasta antara agensi kerajaan dan sektor swasta bagi menghidupkan ekosistem pelancongan komuniti.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim memaklumkan, ia dijadikan acara tahunan dalam kalendar promosi Tourism Malaysia dan turut disenaraikan sebagai antara pengisian rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Bagi sesetengah pihak, acara seperti ini mungkin dilihat sekadar festival yang menampilkan makanan dan hiburan.
“Namun, dalam konteks pelancongan domestik, penganjuran acara menyumbang kira-kira tujuh peratus kepada sektor itu serta memberi impak besar kepada ekonomi dan komuniti setempat,” katanya pada sidang media penganjuran Pesta Kuantan 188 di sini hari ini.
Beliau berkata pemilihan Pesta Kuantan 188 sebagai pengisian Tahun Melawat Malaysia 2026 membuktikan potensi pesta berkenaan yang kini memasuki penganjuran tahun kelima untuk terus berkembang sebagai produk pelancongan berimpak tinggi.
Menurutnya, acara seperti ‘Kuantan 188 Towerthon Challenge’ berupaya menarik penyertaan peserta antarabangsa, sekali gus meningkatkan daya tarikan Pahang sebagai destinasi pelancongan acara serta memperkukuh kedudukannya di peringkat global.
Sementara itu, Pengarah Kumpulan Pembangunan Perniagaan Trinidad Hospitality Sdn Bhd, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, Pesta Kuantan 188 menjadi contoh kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta dalam menghidupkan ekosistem pelancongan komuniti.
“Dengan kita berterusan menganjurkan bersama Tourism Malaysia, Tourism Pahang dan sebagainya, perkara ini tidak boleh dilakukan secara bersendirian. Ia memerlukan konsep kerjasama awam-swasta bersama agensi kerajaan dan pihak swasta.
“Gabungan inilah yang sebenarnya memberikan jiwa kepada Menara Kuantan 188 dan perkara itu dapat kita saksikan menerusi penganjuran Pesta Kuantan 188,” katanya
Sepanjang tiga hari penganjuran, pengunjung disajikan pelbagai aktiviti termasuk ‘Royal Pahang Dragon Boat Regatta’, ‘Kuantan 188 Towerthon Challenge x Oregeon’ dan belon udara panas.
Kemuncak hiburan pada 1 Ogos diteruskan dengan konsert percuma menerusi ‘Kuantan 188 Concert & Fireworks’ menampilkan barisan artis popular seperti Datuk M. Nasir, Hael Husaini, Nadeera dan kumpulan Alpha.