
PADANG TERAP, 8 Julai – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah akan memastikan kebajikan seorang murid tahun lima yang terjatuh dari bangunan ketika cuba menangkap burung di sebuah sekolah rendah di Padang Terap dan keluarganya, diberi perhatian yang sewajarnya.
- JPN menyediakan sokongan emosi, psikologi, khidmat bimbingan dan kaunseling serta bantuan lain yang bersesuaian.
- Intervensi sokongan emosi turut diberikan kepada murid-murid sekolah bagi memastikan kesejahteraan mereka terpelihara.
- JPN menegaskan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid menjadi keutamaan serta pemantauan secara berterusan dipertingkatkan.
Menurut JPN Kedah, ia termasuk menyediakan sokongan daripada aspek emosi, psikologi, khidmat bimbingan dan kaunseling serta bantuan lain yang bersesuaian.
“Intervensi sokongan emosi juga akan diberikan kepada murid-murid sekolah berkenaan bagi memastikan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara.
“JPN Kedah menegaskan bahawa aspek keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid sentiasa menjadi keutamaan dan pemantauan secara berterusan terus ditingkatkan,” menurut kenyataan tersebut.
Murid tersebut sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar berikutan terdapat pendarahan di kepala.
Terdahulu, kejadian berlaku selepas sesi persekolahan tamat apabila murid berkenaan telah pulang ke rumah dan hadir semula ke sekolah bagi mengikuti kelas KAFA pada sesi petang.
Bagaimanapun ketika cuba menangkap burung di ruang siling bangunan, murid berkenaan telah terjatuh dan mengalami kecederaan.
Tindakan segera telah diambil oleh pihak sekolah dengan mendapatkan bantuan kecemasan sebelum mangsa dibawa ke hospital tersebut untuk rawatan lanjut.