
PUTRAJAYA, 6 Julai – Indeks Keterjaminan Makanan, Dashboard MySubNasional dan Dashboard Data Analitik Bumiputera merupakan tiga produk baharu yang diperkenal Jabatan Perangkaan Malaysia, (DOSM) bertujuan memperkukuh penyampaian statistik yang lebih bersasar, relevan serta dekat dengan keperluan
rakyat.
- Penambahbaikan PAKW kini mengambil kira keperluan OKU dan individu menghadapi masalah kesihatan.
- Indeks Keterjaminan Makanan membantu kenal pasti ruang penambahbaikan dasar berkaitan bekalan dan pendapatan.
- Dashboard Data Analitik Bumiputera memaparkan status pembangunan secara visual memudahkan analisis dan pemantauan prestasi.
- Dashboard MySubNasional membolehkan wakil rakyat akses data setempat seperti kemudahan awam, PMKS dan jurang pembangunan.
Ketua Perangkawan , Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin memaklumkan, ketiga-tiga inisiatif itu turut dilengkapi penambahbaikan kepada pengiraan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) yang kini mengambil kira keperluan golongan orang kurang upaya (OKU) serta individu yang berdepan masalah kesihatan.
“Ketiga-tiga produk itu berupaya menghasilkan statistik yang lebih bersasar dan mendekatkan data dengan rakyat.
“Indeks Keterjaminan makanan pula penting bagi membantu semua pihak mengenal pasti ruang dan peluang untuk menambah baik dasar berkaitan pendapatan dan perlu diberi perhatian semua pihak,”katanya selepas program Simfoni Data dan Media.
Kesemua produk berkenaan diwujudkan dengan peranan masing-masing iaitu Indeks Keterjaminan Makanan, membantu kerajaan dan pihak berkepentingan menilai tahap keterjaminan bekalan makanan negara serta mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam penggubalan dasar berkaitan.
Dashboard Data Analitik Bumiputera pula memaparkan status semasa pembangunan Bumiputera menerusi paparan visual yang lebih mudah difahami, sekali gus memudahkan analisis dan pemantauan prestasi.
Dan Dashboard MySubNasional membolehkan wakil rakyat mengakses pelbagai data di peringkat kawasan seperti kemudahan awam, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta jurang pembangunan tanpa perlu melalui proses carian data yang rumit seperti sebelum ini.
Kemudahan diyakini membantu Ahli Parlimen dan ADUN membuat keputusan yang lebih tepat berasaskan data, sekali gus memperkukuh pelaksanaan dasar dan perancangan pembangunan di peringkat setempat.