
KUALA LUMPUR, 6 Julai – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang merangka pelan strategik jangka panjang bersama Persatuan Bola Tampar Malaysia bagi memperkukuh pembangunan sukan itu dan meningkatkan daya saing negara di peringkat Asia.
- Bola tampar Malaysia belum ada kedudukan rasmi di Asia akibat penyertaan dan pencapaian antarabangsa yang terhad.
- Faktor penyumbang termasuk kurang pendedahan ke pertandingan berprestij, kejohanan domestik tidak mencukupi dan perkembangan liga luar lebih matang.
- Kerjasama bersepadu dengan MSN, ISN, IDN, KPN, KPT dan persatuan diperlukan dari peringkat akar umbi hingga prestasi tinggi.
- Perbanyakkan kejohanan domestik; bola tampar disenaraikan dalam SUKMA 2026 dan dirancang dipertandingkan Sukan SEA 2027 untuk pendedahan atlet.
Bagaimanapun Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari memaklumkan ketika ini bola tampar Malaysia masih belum mempunyai kedudukan rasmi dalam kedudukan sukan itu di Asia berikutan penyertaan serta pencapaian pasukan kebangsaan dalam kejohanan antarabangsa masih terhad.
Antara faktor yang menyumbang kepada keadaan itu ialah kekurangan pendedahan terhadap pertandingan berprestij, bilangan kejohanan domestik yang masih tidak mencukupi serta sistem pembangunan dan liga profesional negara pesaing yang lebih matang selain faktor fizikal pemain.
“Dalam usaha mengangkat sukan bola tampar, KBS bersama Persatuan Bola Tampar Malaysia merancang untuk melaksanakan beberapa pelan tindakan penting yang perlu diikuti oleh persatuan.
“Antaranya termasuk memperkukuh kerjasama erat dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), IDN, KPN, KPT serta persatuan itu sendiri secara bersepadu, bermula dari peringkat akar umbi sehingga ke peringkat prestasi tinggi.
“Selain itu, kita juga akan memperbanyakkan lagi kejohanan kompetitif dalam negara supaya atlet dapat memperoleh lebih banyak pengalaman pertandingan serta mengekalkan konsistensi prestasi dalam jangka masa panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Kangar Zakri Hassan.
Sebagai langkah memperluaskan pendedahan atlet, sukan bola tampar turut disenaraikan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dan bakal menjadi antara acara yang dipertandingkan pada Sukan SEA 2027 apabila Malaysia menjadi tuan rumah .