
KUALA LUMPUR, 6 Julai – Bank Negara Malaysia (BNM) sedang mempertimbangkan pelaksanaan peruntukan no look-back bagi memperkukuh perlindungan pemegang polisi insurans dan takaful perubatan.
- Data industri 2025: kadar kelulusan tuntutan melebihi 90%; lebih satu juta tuntutan diluluskan setiap tahun.
- Pemegang polisi boleh rujuk aduan kepada ITO, kemudian BNMLINK, dan mengemukakan pertikaian kepada FMOS secara percuma.
- Kerajaan dan industri melalui HPPSC memperkukuh mekanisme penyelesaian pertikaian serta amalan terbaik bagi penilaian teknologi dan rawatan perubatan baharu.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, berkata langkah itu bertujuan mengelakkan tuntutan ditolak akibat penyakit sedia ada yang tidak didedahkan secara tidak sengaja oleh pemegang polisi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, berhubung langkah kerajaan memperkukuh peraturan insurans bagi melindungi pemegang polisi, termasuk pesakit penyakit kritikal dan kanser, daripada pembatalan polisi secara sewenang-wenangnya.
“Data industri setakat 2025 menunjukkan industri ITO mengekalkan purata kadar kelulusan tuntutan melebihi 90 peratus. Secara kolektif, pemain industri konsisten meluluskan lebih satu juta tuntutan setiap tahun.
“Sekiranya pemegang polisi mempunyai aduan, mereka boleh menghubungi pihak ITO terlebih dahulu.Jika masih tidak berpuas hati, mereka boleh menghubungi BNMLINK dan mengemukakan pertikaian kepada Perkhidmatan Ombudsman Pasaran Kewangan (FMOS) secara percuma,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan bersama industri melalui Jawatankuasa Protokol dan Penyelesaian Rakan Penjagaan Kesihatan (HPPSC) turut terus memperkukuh mekanisme penyelesaian pertikaian tuntutan, termasuk memperkenalkan amalan terbaik bagi penilaian teknologi serta rawatan perubatan baharu.