PM seru pemimpin di semua peringkat beri layanan adil kepada semua komuniti

Perdana Menteri berucap pada Program Jalinan Mesra PMX Bersama Belia Johor sempena Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR)/Foto BERNAMA 

JOHOR BAHRU, 4 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pemimpin di semua peringkat agar memberi layanan yang adil kepada semua komuniti bagi memelihara perpaduan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemimpin mesti berpegang kepada nilai, akhlak dan prinsip keadilan dalam mentadbir tanpa mengira latar belakang masyarakat.
  • Layanan adil perlu diberikan kepada semua, dari peniaga kecil hingga perniagaan besar serta semua jenis perumahan.
  • Kemajuan negara tidak hanya diukur angka ekonomi; mesti berfokus meningkatkan taraf hidup rakyat secara menyeluruh dan inklusif.
  • Perubahan mesti berteraskan nilai murni dan ajaran Islam untuk elakkan kerosakan serta ketidakseimbangan sosial.

Beliau menegaskan bahawa seorang pemimpin di Malaysia perlu berpegang teguh kepada nilai, akhlak serta prinsip keadilan dalam mentadbir tanpa mengira latar belakang masyarakat.

“Saya nak tekankan, nak jadi pemimpin di Malaysia mesti jaga nilai dan akhlak. Mesti pertahankan hak semua sama ada yang rendah, yang berniaga kecil seperti warung, ataupun yang menjalankan perniagaan besar termasuk hotel, semuanya perlu dilayan mengikut lunas undang-undang.

“Begitu juga soal perumahan, sama ada di kawasan kelas pertama yang mahal mahupun rumah rakyat, semuanya mesti diberi perhatian secara adil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) Peringkat Negeri Johor di Taman Melor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar turut menegaskan bahawa kemajuan negara tidak boleh diukur hanya melalui angka pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya mesti merangkumi usaha meningkatkan taraf hidup rakyat secara menyeluruh.

“Gaji RM2,000, nak hidup macam mana di Johor Bahru? Jangan ingat saya duduk di Putrajaya, saya tidak tahu.

“Saya tahu. Memang tidak cukup untuk hidup di Kuala Lumpur atau Johor Bahru dengan gaji sebegitu,” katanya.

Menurut beliau, tanggungjawab pemimpin negeri dan negara adalah mencari jalan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat agar pembangunan yang dilaksanakan benar-benar bersifat inklusif dan berprinsip.

Katanya lagi, perubahan yang dibawa perlu berteraskan nilai murni dan pembangunan sebenar seperti yang ditekankan dalam ajaran Islam, sekali gus mengelakkan kerosakan serta ketidakseimbangan sosial dalam masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.