
KUALA LUMPUR, 4 JULAI – Pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) merupakan inisiatif ekonomi rentas sempadan melibatkan Malaysia dan Singapura.
- Pelancaran perlu disusun strategik untuk memastikan keselarasan dasar, kesiapsiagaan pelaksanaan dan memperkukuh keyakinan pelabur.
- Penyelarasan di peringkat pemimpin pada suku keempat memberi komitmen dua hala, publisiti serta keyakinan berskala global.
- Keberhasilan diukur melalui impak ekonomi nyata; kerjasama negeri dan agensi mesti kukuh untuk menarik pelaburan dan manfaat kepada rakyat.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pelancaran inisiatif itu perlu disusun secara strategik bagi memastikan keselarasan dasar, kesiapsiagaan pelaksanaan dan keyakinan pelabur dapat diperkukuh.
“Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelaras pelancaran zon ekonomi terbabit di peringkat Pemukiman Pemimpin (Leader’s Rethreat) pada suku keempat tahun ini disifatkan sebagai langkah tepat.
“Pendekatan ini mencerminkan strategi kerajaan dalam memastikan komitmen dua hala di peringkat tertinggi, sekali gus memberi impak publisiti dan keyakinan berskala global,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, kemajuan inisiatif berkenaan juga perlu dinilai berdasarkan hasil serta impak ekonomi yang nyata, bukannya bersandarkan kepada tarikh pelancaran dokumen semata-mata.
Kata Akmal Nasrullah, data pelaburan semasa membuktikan keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa terhadap pasaran Johor kekal utuh serta konsisten.
“Kementerian Ekonomi akan memastikan kerjasama antara Kerajaan Negeri Johor dan agensi pelaksana terus kukuh supaya pelaksanaan JS-SEZ kekal tersusun.
“Pelaksanaan itu juga dapat menjadi model kerjasama ekonomi yang berdaya saing, terangkum dan mampan demi membuka peluang pelaburan sebenar, pendapatan bernilai tinggi dan manfaat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan sama.