
KOTA BHARU, 4 Julai – Dua beranak ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara selepas dipercayai cuba menyeludup 28 botol minyak masak dan 24 paket gula kasar ke Thailand.
- Suspek mendakwa barangan kawalan mahu dihantar kepada saudara di negara berkenaan.
- Pemeriksaan menemui barangan kawalan; sebuah kenderaan dipercayai digunakan dirampas, nilai keseluruhan dianggarkan RM10,933.60.
- Kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Kota Bharu dan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Kedua-dua suspek mendakwa barangan kawalan itu mahu dihantar kepada saudara mereka yang menetap di negara berkenaan.
Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek berusia 45 dan 18 tahun itu ditahan dalam Op Taring Wawasan Kelantan kira-kira pukul 6 petang semalam di Pengkalan Haram Kuala Jambu, Tumpat.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 28 botol minyak masak seberat lima kilogram setiap satu serta 24 paket gula kasar.
Katanya, semua barangan kawalan itu dipercayai cuba dibawa keluar ke Thailand melalui laluan tidak diwartakan.
“Turut dirampas sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu dengan nilai keseluruhan rampasan, termasuk kenderaan, dianggarkan RM10,933.60,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Radzi, minyak masak dan gula berkenaan dibeli di sebuah pasar raya di Tumpat dan dihantar kira-kira sekali sebulan ke Thailand.
Kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kota Bharu
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.