Piala Dunia: Ghana galas misi Afrika untuk mara ke pusingan 16 terbaik

Skuad Ghana giat menjalani latihan menjelang pertemuan menentang Colombia dalam aksi 32 pasukan terbaik di Kansas City esok – Foto AFP

KANSAS CITY, 3 Julai – Ghana menggalas tanggungjawab besar dalam memastikan satu lagi pasukan Afrika layak ke pusingan 16 pasukan terbaik Piala Dunia FIFA 2026 yang menyaksikan beberapa wakil benua itu tersingkir di pusingan kalah mati.

RINGKASAN BERITA AI
  • Carlos Queiroz, jurulatih berpengalaman, bawa Ghana ke Piala Dunia kali kelima berturut-turut.
  • Ghana mara ke pusingan 32 sebagai salah satu pasukan tempat ketiga terbaik.
  • Hanya Maghribi terus mara ke pusingan 16 setakat ini; Senegal, Ivory Coast dan Congo Demokratik tersingkir.
  • Queiroz puji keberanian pemain, tekankan DNA pejuang dan keyakinan mereka berjuang hingga akhir.

Jurulatih berpengalaman berasal dari Portugal, Carlos Queiroz yang telah membawa pasukan dikenali dengan nama jolokan “The Black Stars” itu ke Piala Dunia buat kali kelima berturut-turut, berjaya membawa Ghana mara ke pusingan 32 terbaik selepas muncul sebagai salah satu pasukan tempat ketiga terbaik.

Ghana antara sembilan pasukan Afrika yang berjaya mara dari peringkat kumpulan, daripada keseluruhan 10 wakil benua itu yang memulakan saingan kejohanan di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, hanya Maghribi dapat meneruskan perjuangan ke pusingan 16 terbaik, setakat ini, dengan Senegal, Ivory Coast dan Republik Demokratik Congo ditunjukkan jalan keluar.

“Ia satu lagi cabaran untuk kami,” kata Queiroz menjelang pertemuan Ghana dengan Colombia di Kansas City, esok (Sabtu).

Beliau turut menegaskan, pasukannya perlu memperbaiki prestasi dan statistik perlawanan.

“Kami perlu menjadikannya lebih baik. Jadi tanggungjawab di bahu kami untuk memastikan satu lagi pasukan Afrika layak ke pusingan seterusnya. Itu kewajipan kami,” katanya.

Pengendali veteran berusia 73 tahun itu yang pernah melatih Colombia sebelum ini memuji keberanian pemainnya dan yakin mereka akan “berjuang hingga ke akhir” bagi mendapatkan keputusan positif.

“Ini ada dalam DNA pemain Ghana,” katanya.

“Tiada apa yang boleh dibina atau dibeli. Ia sudah ada dalam darah mereka. Mereka pejuang sejati dan saya sangat bangga menjadi jurulatih mereka.”

Kapten Ghana, Jordan Ayew pula mengimbau kembali pencapaian negara itu mara ke suku akhir Piala Dunia di Afrika Selatan pada 2010.

“Ia sesuatu yang luar biasa,” katanya. “Itulah detik-detik yang kami mahu bawa kembali ke negara kami.”

Beliau turut yakin Ghana mampu mencabar pasukan Colombia yang berada di ranking lebih tinggi.

“Dalam bola sepak, setiap perlawanan adalah 50-50,” katanya.

“Esok akan menjadi perlawanan yang sengit. Kami akan lakukan yang terbaik, memberi persembahan menarik dan kita akan lihat hasilnya. Tetapi yang pasti, kami akan membuat Afrika dan Ghana berbangga.” – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.