
JOHOR BAHRU, 3 Julai – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberi tumpuan utama kepada pembangunan bakat sempena Malaysia menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN ke-23 (AMMSTI-23) tahun depan.
- Pembangunan bakat kekal keutamaan untuk mendepani kemajuan pesat dalam sains, teknologi dan inovasi negara.
- Fokus melibatkan sektor strategik: peralihan tenaga, kecerdasan buatan, digitalisasi dan teknologi nano.
- Pembangunan bakat penting bagi menarik pelaburan berteknologi tinggi dan menyokong ekosistem inovasi negara.
Menterinya, Datuk Chang Lih Kang berkata, pembangunan bakat kekal sebagai keutamaan dalam usaha mendepani kemajuan pesat dalam bidang sains, teknologi dan inovasi negara.
Menurut beliau, fokus tersebut melibatkan sektor strategik termasuk peralihan tenaga, kecerdasan buatan (AI), digitalisasi serta teknologi nano.
“Pembangunan bakat sentiasa menjadi keutamaan kerana ia amat penting, khususnya ketika negara giat menarik pelaburan berteknologi tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi TechTalks di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Johor, Kampus Pasir Gudang, pada Khamis.
Keputusan Malaysia menjadi tuan rumah AMMSTI-23 dimuktamadkan pada penghujung mesyuarat AMMSTI ke-22 yang berlangsung di Vientiane, Laos pada 26 Jun lalu.