Pengundi diingatkan waspada sabotaj digital sepanjang kempen PRN Johor

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

MUAR, 2 Julai – Pengundi diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap taktik sabotaj digital sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 yang akan berlangsung pada 11 Julai ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Waspada akaun palsu yang menggunakan wajah calon untuk menyebarkan fitnah.
  • MCMC memantau rapat sebarang penyebaran maklumat palsu berkaitan pilihan raya.
  • Sahkan maklumat sebelum kongsi; dapatkan daripada sumber sahih, khususnya media arus perdana.
  • Hentikan khianat fizikal dan unsur gengsterisme agar demokrasi berjalan dengan harmoni.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, terdapat cubaan mewujudkan akaun palsu menggunakan wajah calon bagi menyebarkan fitnah.

Menurut beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang memantau rapat sebarang bentuk penyebaran maklumat palsu berkaitan pilihan raya.

Beliau turut kesal dengan beberapa insiden khianat fizikal termasuk tindakan merosakkan bendera dan papan iklan calon yang disifatkannya sebagai fasa kempen tidak sihat dan kuno.

“Saya berharap para pengundi juga cakna. Bukan semua yang disebarkan itu adalah maklumat yang betul ataupun tepat. Sahkan maklumat yang kita terima.

“Saya belum mendapat maklumat terkini daripada MCMC mengenai jumlah kandungan yang telah dikenal pasti untuk diturunkan berkaitan maklumat palsu atau election misinformation. Namun, semua platform telah memaklumkan bahawa election misinformation merupakan satu bentuk pelanggaran garis panduan komuniti platform,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam amal di sebuah restoran di Muar.

Fahmi turut menggesa orang ramai mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan dipercayai, khususnya media arus perdana.

Beliau turut menegaskan perbuatan menggunakan unsur gengsterisme fizikal bagi menakut-nakutkan jentera parti mahupun orang ramai perlu dihentikan segera demi memastikan amalan demokrasi negara berjalan dengan harmoni.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.