
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memperkukuh pembangunan ekosistem e-dagang negara yang selamat, diyakini dan progresif menerusi kerjasama strategik bersama Shopee dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
- Kerjasama antara kerajaan, platform e-dagang, usahawan dan pengguna penting untuk pertumbuhan dan manfaat bersama.
- Sektor e-dagang pendorong utama pertumbuhan ekonomi, membuka peluang bagi PMKS dan usahawan digital menjana pendapatan.
- Pelancaran Kempen Jom Beli Selamat!: Klik Tanpa Risau untuk tingkatkan kesedaran pengguna mengenai amalan membeli-belah selamat.
- Kempen menekankan pendidikan pengguna: taktik penipuan, amalan terbaik transaksi, saluran aduan dan penggunaan platform yang dipercayai.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kerjasama melibatkan kerajaan, penyedia platform e-dagang, usahawan dan pengguna penting bagi memastikan sektor itu terus berkembang serta memberi manfaat kepada semua pihak.
Menurut beliau, sektor e-dagang kini menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara dengan nilai transaksi yang terus meningkat saban tahun, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta usahawan digital menjana pendapatan.
“Potensi sektor e-dagang ini bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, malah menjadi platform penting untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan memperkasa agenda keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Shopee Seller Summit 2026 dan pelancaran Kempen Jom Beli Selamat!: Klik Tanpa Risau di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Datuk Armizan berkata kempen berkenaan merupakan inisiatif Shopee dengan kerjasama KPDN dan PDRM bagi meningkatkan kesedaran pengguna mengenai amalan membeli-belah secara selamat dalam talian.
Katanya, kempen itu memberi penekanan kepada pendidikan pengguna melalui pendedahan terhadap taktik penipuan dalam talian, amalan terbaik ketika berurus niaga, saluran membuat aduan serta penggunaan platform e-dagang yang selamat dan dipercayai.
Beliau berkata langkah tersebut penting berikutan peningkatan kes penipuan dalam talian yang melibatkan kerugian ratusan juta ringgit setiap tahun, sekali gus menuntut kerjasama erat antara kerajaan, agensi penguat kuasa dan pemain industri bagi melindungi pengguna.