Sepanyol rekod lebih 1,000 kematian akibat gelombang haba

Foto AFP

MADRID, 1 Julai – Lebih 1,000 kematian direkodkan di Sepanyol akibat gelombang haba yang kini melanda Eropah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Enam bulan pertama 2026 paling panas direkodkan di Sepanyol, purata suhu 1.6 darjah Celsius melebihi paras normal.
  • Jun 2026 menjadi Jun kedua paling panas, purata suhu 3.2 darjah Celsius melebihi paras normal.
  • Gelombang haba sejak akhir Jun dianggap paling buruk di Eropah dan hampir mustahil berlaku tanpa pengaruh perubahan iklim.

Menurut Institut Kesihatan Carlos III, sekurang-kurangnya 1,028 orang maut akibat komplikasi berkaitan haba semasa cuaca panas melampau.

Agensi Meteorologi Sepanyol, Aemet pula memaklumkan, angka itu lebih dua kali ganda berbanding 407 kematian yang dicatatkan pada Jun 2025 yang turut disenaraikan sebagai bulan paling panas sejak rekod mula disimpan.

Menerusi hantaran di platform X pada Rabu, Aemet menyatakan, enam bulan pertama 2026 merupakan tempoh paling panas pernah direkodkan di Sepanyol, dengan purata suhu 1.6 darjah Celsius melebihi paras normal.

“Dalam masa 10 tahun lepas, sebanyak tujuh kali direkodkan sebagai tempoh enam bulan pertama paling panas.”

Aemet juga memaklumkan Jun 2026 menjadi Jun kedua paling panas pernah direkodkan, dengan purata suhu 3.2 darjah Celsius melebihi paras normal.

“Gelombang haba yang melanda Eropah sejak penghujung Jun merupakan yang paling buruk pernah direkodkan di benua itu. Ia hampir mustahil berlaku pada Jun tanpa pengaruh perubahan iklim,” menurut kumpulan saintis World Weather Attribution.

Jerman, Poland, Republik Czech, Slovakia dan Hungary memecahkan rekod suhu tertinggi sepanjang zaman, manakala, United Kingdom dan Switzerland turut mencatat rekod suhu tertinggi bagi bulan Jun.

Perancis pula memecahkan rekod purata suhu paling panas, dengan negara itu mengalami suhu waktu malam tertinggi pernah direkodkan. — AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.