
SANDAKAN, 28 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan menggagalkan cubaan menyeludup 1,700 peket minyak masak bersubsidi dalam serbuan di Jeti Nelayan Kampung Combo, awal pagi semalam.
- Operasi dijalankan kira-kira pukul 3 pagi susulan maklumat awam mengenai kegiatan penyeludupan.
- Suspek melarikan diri ke kawasan bakau sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
- Pemeriksaan perahu hijau-kuning menemui 100 bungkusan plastik hitam dan peket minyak masak dipercayai untuk diseludup.
- Nilai rampasan termasuk bot dianggarkan RM14,250; kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, usaha mengesan suspek giat dijalankan.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, operasi dijalankan kira-kira pukul 3 pagi susulan maklumat awam berhubung aktiviti penyeludupan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, sepasukan anggota yang melaksanakan Op Sejahtera, Op Cegah PATI dan Op Tiris segera ke lokasi sebelum mendapati suspek melarikan diri ke kawasan bakau sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan terhadap sebuah perahu berwarna hijau dan kuning menemukan 100 bungkusan plastik hitam yang mengandungi paket minyak masak bersubsidi. Sebahagian bungkusan turut ditemui terapung di permukaan laut dan dipercayai dibuang suspek ketika cuba meloloskan diri.
“Hasil pemeriksaan menemukan 1,700 paket minyak masak bersubsidi yang dipercayai cuba diseludup bersama sebuah bot yang digunakan dalam kegiatan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM14,250.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.