IAEA sedia mulakan pemeriksaan tapak nuklear Iran

Ibu pejabat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Vienna, Austria / foto REUTERS

TOKYO, 26 Jun – Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) akan memulakan pemeriksaan ke atas kemudahan nuklear Iran susulan perjanjian damai sementara yang dimeterai antara Amerika Syarikat (AS) dan Tehran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua Pengarah IAEA berkata program nuklear Iran akan dipantau dan diselia oleh agensi itu.
  • Perbincangan awal mengenai pelaksanaan pemeriksaan di beberapa tapak telah diadakan, IAEA berharap memulakan proses dalam masa terdekat.
  • Iran memberi bayangan beberapa kemudahan nuklear utama akan terus ditutup kepada pemeriksa sehingga perjanjian muktamad dan penarikan balik sekatan.
  • MoU 14 perkara membuka laluan rundingan 60 hari untuk memuktamadkan isu pemeriksaan, tahap pengayaan uranium dan syarat pengurangan sekatan.

Ketua Pengarah IAEA, Rafael Mariano Grossi, berkata perjanjian tersebut memperuntukkan bahawa program nuklear Iran akan dipantau dan diselia oleh agensi berkenaan.

Beliau berkata, perbincangan awal mengenai pelaksanaan pemeriksaan di beberapa tapak nuklear Iran telah diadakan dan pihaknya berharap dapat memulakan proses itu dalam masa terdekat.

“Kami berharap dapat berada di sana tidak lama lagi,” katanya pada sidang media di Tokyo, Jepun, hari ini.

Bagaimanapun, Iran memberi bayangan bahawa beberapa kemudahan nuklear utama negara itu akan terus ditutup kepada pemeriksa antarabangsa sehingga perjanjian muktamad dengan Washington dimeterai dan sekatan ekonomi terhadap Tehran ditarik balik.

Minggu lalu, AS dan Iran menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengandungi 14 perkara yang menggariskan persetujuan prinsip bagi menamatkan konflik antara kedua-dua negara.

Perjanjian sementara itu membuka laluan kepada rundingan selama 60 hari untuk memuktamadkan beberapa isu yang masih belum dipersetujui, termasuk perkara berkaitan program nuklear Iran.

Rundingan tersebut dijangka memberi tumpuan kepada mekanisme pemeriksaan, tahap pengayaan uranium serta syarat pengurangan sekatan yang dikenakan terhadap Iran. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.