
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjawab soalan pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini / Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR, 25 Jun – Kurang satu peratus penerima manfaat program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) menggunakan lebih daripada 200 liter petrol sebulan secara konsisten.
- Analisis berdasarkan data penggunaan sebenar Oktober 2025 hingga Mei 2026.
- Kelayakan 200 liter sebulan dianggap mencukupi untuk hampir keseluruhan penerima BUDI95.
- DOSM menunjukkan lebih 80 peratus pengguna diesel mencatat penggunaan di bawah 200 liter, purata kira-kira 140 liter.
- Kerajaan menyediakan tambahan 100 liter boleh dipohon, jumlah kelayakan boleh mencecah 300 liter; DOSM tunjuk 95 peratus pengguna diesel guna kurang daripada jumlah itu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, maklumat itu diperoleh berdasarkan data penggunaan sebenar dari Oktober 2025 hingga Mei 2026.
Jelasnya, dapatan itu menunjukkan kelayakan 200 liter sebulan mencukupi untuk hampir keseluruhan penerima BUDI95.
Bagi penggunaan diesel pula, statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan lebih 80 peratus pengguna mencatat penggunaan di bawah 200 liter sebulan, dengan purata kira-kira 140 liter.
“Bagaimanapun, kerajaan menyediakan kelayakan tambahan sebanyak 100 liter yang boleh dipohon, mengambil kira penggunaan jip dan pikap sebagai kenderaan utama peniaga kecil serta penduduk di pedalaman,” katanya pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini.
Dengan tambahan itu, jumlah kelayakan boleh mencecah 300 liter sebulan.
Data DOSM turut menunjukkan 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada jumlah berkenaan, sekali gus menjadikannya mencukupi untuk majoriti rakyat.