
KOTA KINABALU, 15 Jun – Syarikat pengangkutan darat awam dan barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan digesa segera mendaftar di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi membolehkan mereka terus menikmati subsidi diesel melalui mekanisme fleet card.
- Permohonan SKDS dibuka sejak 4 Mei; syarikat diluluskan boleh memohon fleet card daripada syarikat minyak termasuk PETRONAS SmartPay.
- Sektor pengangkutan barangan menerima diesel bersubsidi RM2.15 seliter; pengangkutan awam RM1.88 seliter.
- Setakat semalam 8,060 syarikat dan 29,631 kenderaan telah berdaftar di Sabah, Sarawak dan Labuan.
- SKDS membolehkan pemantauan subsidi secara digital dan membantu mengekang ketirisan, penyeludupan serta penyalahgunaan diesel.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata permohonan SKDS telah dibuka sejak 4 Mei lalu sebelum syarikat yang diluluskan boleh memohon fleet card daripada syarikat minyak pilihan termasuk Fleet Smartcard PETRONAS SmartPay.
Melalui sistem itu, sektor pengangkutan darat barangan menikmati diesel bersubsidi pada kadar RM2.15 seliter, manakala sektor pengangkutan darat awam RM1.88 seliter.
“Sekiranya syarikat-syarikat ini mahukan kenderaan mereka mendapat manfaat subsidi diesel mereka perlulah mendaftar SKDS segera,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Smartplay Fleet Card SKDS di sini.
Setakat semalam, sebanyak 8,060 syarikat di Sabah, Sarawak dan Labuan telah berdaftar di bawah SKDS melibatkan 29,631 kenderaan.
“Daripada jumlah itu, Sabah merekodkan 3,922 syarikat dengan 14,415 kenderaan, Sarawak 3,869 syarikat dengan 14, 447 kenderaan, manakala Labuan 269 syarikat dengan 769 kenderaan,” katanya.
SKDS membolehkan pemantauan subsidi dibuat secara digital selain membantu kerajaan mengekang ketirisan, penyeludupan dan penyalahgunaan diesel bersubsidi.
Senarai jenis kenderaan dan permohonan pendaftaran menyertai SKDS boleh dirujuk melalui portal MySubsidi menerusi pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my.