
WASHINGTON, 15 Jun – Kandungan penuh Perjanjian Damai Amerika Syarikat (AS)-Iran masih belum diperincikan secara rasmi oleh kedua-dua pihak.
- AS akan melepaskan AS$12 bilion aset Iran yang dibekukan sebelum rundingan bermula.
- Memorandum 14 perkara memperuntukkan pelepasan sehingga AS$24 bilion sepanjang 60 hari selepas perjanjian ditandatangani.
- Majlis pemeteraian dijadual berlangsung pada 19 Jun di Switzerland, sambutan antarabangsa positif dan sokongan pelonggaran sekatan.
Agensi berita Mehr melaporkan bahawa AS akan melepaskan AS$12 bilion aset Iran yang dibekukan sebelum rundingan bermula.
Laporan itu turut menyebut bahawa memorandum persefahaman 14 perkara antara kedua-dua negara memperuntukkan pelepasan sehingga AS$24 bilion aset Iran yang dibekukan sepanjang tempoh rundingan selama 60 hari selepas perjanjian ditandatangani.
Bagaimanapun, pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, belum mengesahkan secara rasmi butiran berkenaan, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai skop sebenar perjanjian tersebut, khususnya melibatkan isu sensitif seperti program nuklear Iran dan stok uranium diperkaya.
Terdahulu, Washington dan Tehran dilaporkan bersetuju memeterai Perjanjian Damai bagi menamatkan konflik di Asia Barat.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, memaklumkan bahawa majlis pemeteraian perjanjian itu dijadual berlangsung pada Jumaat ini (19 Jun) di Switzerland.
Pengumuman perjanjian berkenaan turut menerima reaksi positif masyarakat antarabangsa yang berharap ia menjadi titik perubahan kepada kestabilan serantau di Asia Barat.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menyifatkan perkembangan itu sebagai langkah penting ke arah penyelesaian konflik yang lebih menyeluruh.
United Kingdom, Perancis, Jerman dan Itali turut menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan pelonggaran sekatan terhadap Iran, selain menyokong usaha diplomatik bagi memastikan perjanjian itu terus diperkukuh. – AFP