Harga minyak turun serta -merta susulan perjanjian damai AS-Iran

Foto REUTERS

TOKYO, 15 Jun – Harga minyak dunia turun lebih empat peratus hari ini susulan pengumuman mengejut mengenai perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran bagi menamatkan konflik ketenteraan yang berlarutan selama beberapa bulan.

RINGKASAN BERITA AI
  • AS dan Iran mencapai perjanjian damai, menamatkan operasi ketenteraan di semua barisan hadapan secara serta-merta dan kekal, menurut perantara Pakistan.
  • Pentadbiran Trump mengumumkan pembukaan semula Selat Hormuz dan arahan penarikan kapal perang Amerika Syarikat untuk memulihkan pengaliran minyak.
  • Penganalisis memandang perkembangan itu positif tetapi menekankan perlunya pengesahan rasmi di Switzerland serta isu pematuhan Iran dan tindakan Hezbollah diselesaikan.

Pengumuman berkenaan sekali gus meredakan pergolakan dalam pasaran tenaga global.

Dalam dagangan di Tokyo, penanda aras minyak AS, West Texas Intermediate (WTI) merosot 4.39 peratus kepada US$81.15 setong selepas Pakistan selaku pengantara mengumumkan bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk menamatkan operasi ketenteraan di semua barisan hadapan, termasuk di Lubnan, secara “serta-merta dan kekal”.

Presiden AS, Donald Trump menerusi satu kenyataan pada Ahad mengesahkan perkembangan tersebut dengan menyatakan bahawa perjanjian bersama Iran itu telah membuahkan hasil sepenuhnya.

Trump turut mengumumkan pembukaan semula Selat Hormuz — sebuah laluan maritim strategik dan penting yang mengendalikan hampir 20 peratus bekalan minyak mentah dunia yang sebelum ini terjejas akibat konflik.

“Saya dengan ini memberi kuasa penuh kepada pembukaan tanpa tol Selat Hormuz, dan secara serentak, mengarahkan penarikan balik sekatan kapal perang Amerika Syarikat serta-merta.

“Kapal-kapal dunia, mulakan enjin anda. Biarkan minyak mengalir!” kata Trump.

Tidak lama kemudian, Iran turut mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan bahawa perjanjian baharu dengan AS itu menandakan “penamatan serta-merta” kepada peperangan antara kedua-dua negara.

Sementara itu, penganalisis pasaran daripada SPI Asset Management, Stephen Innes menyifatkan perkembangan itu sebagai langkah awal yang positif, namun menegaskan ia belum menjadi penyelesaian damai yang mutlak.

Menurutnya, pasaran kini akan menumpukan perhatian kepada proses pengesahan lanjut termasuk majlis menandatangani perjanjian rasmi di Switzerland, usaha pembersihan periuk api, serta tindakan kawalan diri oleh pihak Israel.

“Ini merupakan rangka kerja gencatan senjata yang boleh diterima pasaran, namun isu-isu rumit lain seperti pematuhan Iran dan pelonggaran ketegangan oleh Hezbollah terpaksa ditangguhkan buat masa ini,” tambah beliau. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.