
KUALA LUMPUR, 14 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan Setiausaha Agung Rabithah al-Alam al-Islami (Liga Dunia Islam) Sheikh Dr Mohammad Al-Issa di Putrajaya.
- Bertukar pandangan mengenai perkembangan dunia Islam dan usaha memperkukuh persefahaman antara agama.
- Menyorot kejayaan Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ke-3 yang menghimpunkan tokoh agama, cendekiawan dan pemimpin masyarakat pelbagai negara.
- Menghargai peranan badan antarabangsa dalam mempromosi kesederhanaan, keamanan serta kerjasama rentas agama di tengah konflik global.
- Perlu memperkukuh kekuatan umat melalui pendidikan, pembangunan ekonomi, penguasaan ilmu dan teknologi serta memartabatkan keadilan dan kemanusiaan.
Menerusi perkongsian di Faebook, Datuk Seri Anwar berkata mereka saling bertukar pandangan mengenai perkembangan dunia Islam serta usaha memperkukuh persefahaman antara agama.
Pertemuan itu turut menyentuh mengenai kejayaan Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ke-3 di sini baru-baru ini yang berjaya menghimpunkan tokoh agama, cendekiawan dan pemimpin masyarakat pelbagai latar belakang serta negara.
“Platform ini amat penting dalam membina persefahaman, merapatkan jurang perbezaan serta memupuk budaya dialog yang matang,” katanya.
Beliau berkata Sheikh Dr Mohammad turut berkongsi pandangan mengenai peranan Malaysia dalam memperkukuh hubungan antara dunia Islam dengan masyarakat antarabangsa termasuk usaha membina jambatan persefahaman antara Timur dan Barat.
“Saya menghargai peranan aktif badan ini (Rabithah al-Alam al-Islami) dalam mempromosikan kesederhanaan, keamanan serta kerjasama rentas agama pada saat dunia berdepan pelbagai konflik dan ketegangan yang semakin meruncing,” katanya lagi.
Jelas Perdana Menteri, pertemuan itu turut membincangkan kedudukan dunia Islam serta keperluan memperkukuh kekuatan umat menerusi pendidikan, pembangunan ekonomi selain penguasaan ilmu dan teknologi di samping mengangkat nilai keadilan, ihsan serta kemanusiaan sejagat.
“Kami juga sepakat bahawa masa depan yang lebih aman dan stabil hanya dapat dibina melalui dialog yang berterusan, sikap saling menghormati serta keterbukaan menjalin hubungan lebih erat antara masyarakat dan penganut pelbagai agama di seluruh dunia,” tambahnya.