KPDN akan bawa cadangan kekal kuota BUDI95 buat pengamal media ke MOF

Foto BERNAMA

KUANTAN, 14 Jun – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan supaya pengamal media berdaftar diberikan pengecualian khas bagi mengekalkan kuota 300 liter petrol RON95 yang dinikmati menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) sebelum ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPDN mengambil berat mengenai cabaran pengamal media yang banyak melakukan perjalanan untuk menjalankan tugasan.
  • Gabungan Kelab Media Malaysia pernah memohon pengecualian khas untuk pengamal media berdaftar yang perlu bekerja di lapangan.
  • Mulai 1 April kuota BUDI95 diselaraskan sementara kepada 200 liter sebulan; harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, kementerian itu akan membawa perkara berkenaan kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan.

“KPDN amat mengambil berat mengenai cabaran yang dihadapi oleh pihak media, khususnya kerana mereka banyak melakukan perjalanan untuk tugasan.

“Namun, BUDI95 bawah Kementerian Kewangan, jadi saya akan membawa perkara ini kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jualan Rahmah Madani sempena pembukaan baharu Pasaraya Pantai Selamat Seindah di sini.

Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) sebelum ini pernah memohon kerajaan memberikan pengecualian khas kepada pengamal media berdaftar yang perlu menyempurnakan tugas mereka di lapangan.

Bermula 1 April lepas, had kuota bulanan individu bagi pembelian petrol BUDI95 diselaraskan sementara kepada 200 liter sebulan daripada 300 liter susulan konflik berterusan di Asia Barat dengan harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99, seliter.

Dalam perkembangan lain, berkenaan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Fuziah yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) memaklumkan parti itu akan bertanding sekurang-kurangnya 20 kerusi bagi Johor dan 16 kerusi bagi Negeri Sembilan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.