Pemergian Umer Chapra kehilangan besar dunia keilmuan Islam – PM

Ahli ekonomi Islam tersohor, Profesor Dr. Muhammad Umer Chapra. Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian ahli ekonomi Islam tersohor, Profesor Dr. Muhammad Umer Chapra sebagai satu kehilangan besar kepada dunia keserjanaan dan keilmuan Islam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengingatkan bahawa kemakmuran tanpa keadilan hanyalah fatamorgana; beliau mengutamakan akhlak dan kemanusiaan dalam ekonomi.
  • Melalui tulisan dan pemikiran, beliau menghidupkan semula tradisi intelektual Islam yang mengikat kemajuan dengan tanggungjawab sosial.
  • Legasi beliau dijangka menjadi obor bagi usaha membina sistem ekonomi yang lebih adil, manusiawi dan bermaruah.

“Dunia keserjanaan dan keilmuan Islam hari ini telah kehilangan salah seorang putera terbaiknya. Pemergian Profesor Dr. Muhammad Umer Chapra menandai berakhirnya satu hayat yang diabdikan sepenuhnya kepada perjuangan menegak keadilan, memperkasa pemikiran dan mengangkat martabat insan dengan ilmu sebagai wahana,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.

Tambah Datuk Seri Anwar, ketika ekonomi sering dipisahkan dari pertimbangan akhlak dan kemanusiaan, Allahyarham Profesor Dr. Muhammad Umer Chapra tampil sebagai tokoh yang mengingatkan bahawa kemakmuran tanpa keadilan pada akhirnya tidak lebih daripada sekadar fatamorgana iaitu indah pada pandangan, namun kontang makna dan kesejahteraan yang sebenar.

“Justeru, melalui tulisan dan pemikiran Allahyarham menghidupkan kembali tradisi intelektual Islam yang menaut kemajuan dengan insan, serta pertumbuhan dengan tanggungjawab kepada masyarakat.

“Sementalahan, legasi Allahyarham akan kekal menjadi obor yang menerangi ikhtiar umat untuk membangun sistem ekonomi lebih adil, manusiawi dan bermaruah,” katanya.

Datuk Seri Anwar turut mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham yang dianggap sebagai sahabat dan sarjana yang mencerahkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.